Rain & Kim Tae Hee (Korea Selatan)
Pasangan popular ini dikenali sebagai ‘pasangan emas’ dalam industri hiburan Korea disebabkan perhubungan mereka yang romantis. Mereka sering dirakam bercanda dengan satu sama lain malah Rain atau nama sebenarnya Jeong Ji Hoon sering memuji isterinya di media sosial.
Mereka juga tidak segan silu bergurau secara terbuka. Kim pernah menghantar trak kopi ke set penggambaran drama lakonan Rain berjudul Ghost Doctor berserta sepanduk dengan nota jenaka, “Dia sangat bijak, tetapi seorang yang pelik jika anda benar-benar mengenalinya.”
Selain pencapaian hebat dalam dunia hiburan serta meraih pendapatan lumayan menerusi lakonan dan pengendorsan, pasangan ini juga dikenali sebagai mogul hartanah. Walau nilai kekayaan Rain dan Kim masing-masing sebanyak RM230 juta dan RM67 juta, mereka turut dilaporkan memiliki beberapa hartanah bernilai RM301 juta. Ini termasuk kediaman yang mereka kongsi bersama di Seoul (RM18.3 juta) dan California (RM8.3 juta).
Selain itu Kim juga memiliki tiga bangunan di Gangnam manakala Rain pula mempunyai sebuah vila mewah dan pusat membeli-belah di Cheongdam.
Walau bergelar jutawan, pasangan ini amat merendah diri dan hidup bersederhana. Menurut portal hiburan Korea, majlis perkahwinan mereka yang berlangsung pada 2017 hanya menelan belanja sekitar RM7,523.