Ranveer Singh & Deepika Padukone (India)
Dua pelakon yang menjadi kegilaan di Bollywood ini baru sahaja dinobat sebagai pasangan paling popular di India, menurut tinjauan Indian Institute of Human Brands. ‘DeepVeer’ meraih 86 peratus undian peminat yang menggelar mereka sebagai pasangan sepadan, penyayang dan menyeronokkan, sekali gus meletakkan pasangan popular Anushka Sharma dan Virat Kohli di tangga kedua.
Deepika yang merupakan model kini bergelar salah seorang aktres Bollywood dengan pendapatan tertinggi. Dia meraih RM42 juta setahun daripada filem dan pengendorsan dengan nilai kekayaan berjumlah RM167 juta. Dia turut bergelar usahawan dengan melancarkan jenama pakaian sendiri, All About You bersama syarikat e-dagang fesyen India serta menjadi penulis untuk majalah kesihatan dan kecergasan wanita.
Sementara itu suaminya, Ranveer memiliki nilai kekayaan sebanyak RM84 juta yang diraihnya menerusi lakonan dan komersil dengan jenama besar seperti Adidas, Kellogg’s, Durex dan Head & Shoulders.
Tahun lalu pasangan itu dilaporkan menjadi jiran Raja Bollywood, Shah Rukh Khan dengan membeli sebuah banglo mewah bernilai RM11 juta di Alibaug, kawasan seluas 18,000 kaki persegi dan hanya 10 minit perjalanan dari pantai.