Jawatan apa yang yang sesuai ditawarkan kepada seseorang yang mempunyai gelaran Putera atau Duke seperti Harry?
Menurut Global News, Harry akhirnya berjaya mendapat pekerjaan pertamanya selepas berundur dari tugasan Diraja British, iaitu sebagai ketua pegawai impak di sebuah syarikat teknologi di Silicon Valley, California.
BetterUp, sebuah syarikat yang memberi fokus kepada khidmat kesihatan mental dan bimbingan pekerja mengumumkan bahawa mereka melantik Duke of Sussex untuk mengisi jawatan eksekutif. Ia disahkan oleh jurucakap Harry menerusi satu kenyataan media.
“Sebagai Ketua Pegawai Impak di BetterUp, matlamat saya adalah untuk mengetengahkan dialog kritikal berkenaan kesihatan mental, membina komuniti yang penyayang dan saling menyokong, serta memupuk persekitaran untuk perbualan yang jujur dan terbuka.
“Harapan saya adalah untuk membantu individu di luar sana meningkatkan kekuatan dalaman, kepercayaan dan keyakinan diri mereka,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut.
Tambah Harry, dia telah bekerjasama dengan jurulatih BetterUp dan menganggapnya sebagai pengalaman yang tidak ternilai.