Gambar: TPGimages
Kerjaya sebagai selebriti dibaluti aura glamor dan kemewahan. Menjadi sanjungan ramai akan imej dan kebolehan luar biasa dalam menterjemah bakat membuatkan mereka dipuja. Namun di sebalik keindahan itu, berapa ramai yang tahu siapa mereka ini sebelum disanjung? EH! berkongsi pekerjaan selebriti pilihan sebelum mengecap zaman populariti mereka.
Jon (Bon Jovi)
Sebelum menubuhkan kugiran rock Bon Jovi bersama anggota lain, Jon terlebih dahulu bekerja sebagai juruhias dekorasi pesta tertentu seperti perayaan Krismas ketika menetap di New Jersey. Dan peluang merakamkan album tiba ketika dia bekerja sebagai penjaga bangunan di sebuah studio milik sepupunya apabila ditawar menyanyikan trak rakaman lagu bagi musim Krismas sekitar 1980.
Queen Latifah
Sebelum menjadi hip-hop mogul dalam industri muzik, Queen Latifah melalui zaman sukar seawal usia 15 tahun pabila dia terpaksa bekerja sebagai pembantu di Burger King. Menurut Latifah dia membuat burger, membancuh air dan mencuci tandas setiap hari sehingga diberhentikan kerana sifat barannya setiap kali disuruh bekerja di tandas. Pemilik nama Dana Elaine Owens ini bertekad meneruskan impiannya dalam bidang muzik dan menubuhkan kugiran hip-hop pertama Ladies Fresh sekitar 80-an.
Denzel Washington
Mendapat ijazah dalam bidang penulisan sebelum memutuskan untuk berhenti belajar dalam bidang medik. Denzel melalui waktu sukar ketika menjadi pelajar di mana dia terpaksa melakukan beberapa kerja pada satu masa. Antara pekerjaan yang pernah dilakukan adalah pemungut sampah, pengasuh bayi dan menjadi fasilitator untuk kem-kem anjuran YMCA. Selepas tamat belajar, Denzel memutuskan untuk menyertai American Conservatory Theater di San Francisco bagi mendalami ilmu lakonan.
Jim Carrey
Hari ini aset yang dikumpulkan dalam bidang lakonan meletakkan Jim Carrey antara pelakon paling tinggi pendapatan di Hollywood. Namun tahukah anda selepas bapanya meninggal dunia semasa dia berusia 15 tahun, Jim terpaksa bekerja selepas waktu sekolah sebagai pengawal keselamatan dan penjaga bangunan sehingga lewat malam. Bakat lakonan dan jenakanya dikesan oleh Rodney Dangerfield ketika dia membuat persembahan di kelab komedi, Yuk Yuk, Toronto.
Sheryl Crow
Sebelum menjadi bintang dalam muzik rock dan country, Sheryl Crow adalah guru di Kellison Elementary School St. Louis, Mo. Dengan kelulusan dalam bidang teori seni suara di Universiti Missouri, Sheryl Crow meneruskan minatnya dalam bidang muzik dengan menubuhkan kugiran yang dinamakan sebagai Kashmir pada 1984 sebelum memutuskan untuk berpindah ke California dengan menjadi penyanyi latar Michael Jackson.
Ellen Degeneres
Pengacara popular ini pernah bekerja di sebuah pusat mencuci kereta. Menurut Ellen pengalaman bekerja di sana membuatkan dia berpeluang memandu kereta-kereta mewah yang menggunakan khidmat tempat dia bekerja. Selepas itu dia membuat keputusan berhenti dan bekerja di sebuah firma guaman sebagai seorang court runner.
Jennifer Aniston
Sebelum popular sebagai Rachel melalui siri Friends, Jennifer Aniston melalui zaman sukar ketika menjadi seorang pekerja dalam bidang pemasaran dan jurupos berbasikal sebelum memutuskan untuk mencari peluang dalam bidang lakonan. Jennifer pernah melalui beberapa fasa uji bakat yang ditolak sehinggalah bakatnya diterima untuk membintangi broadway “For Fear and Life” di Public Theatre, New York.
Nicole Kidman
Sebelum memulakan karier dalam bidang lakonan, Nicole Kidman terlebih dahulu menjadi penari balet di sebuah pusat teater, Australian Theatre for Young People. Dengan kebolehan serta pengalaman alih suara, dia ditawarkan untuk berlakon ketika berusia 16 tahun dan bermula dari situ kerjaya lakonannya berkembang sehingga kini.