Siapa tidak kenal pelakon berwajah jelita, Han So Hee. Selepas muncul dalam The World of the Married, namanya semakin menjadi sebutan di kalangan peminat K-Drama di Malaysia.
Mula berkecimpung di dalam industri seni dengan peranan kecil dalam drama Reunited Worlds pada 2017, Han So Hee kini semakin menjadi rebutan pengarah. Terbaru, dia sedang sibuk dengan penggambaran drama Undercover.
Namun malang menimpa tiga hari lalu apa dia dilaporkan menghadapi kesukaran bernafas dan pengsan di set penggambaran. Ada juga media melaporkan bahawa dia terjatuh dan kakinya tercedera. Dia kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Menurut wakil agensi, 9ato Entertainment, dia mengalami kecederaan ringan ketika menjalani penggambaran untuk babak aksi. “Demi keselamatan Han So Hee, penggambaran terpaksa dihentikan dan dia dibawa ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang sepatutnya.” Tambah mereka, pelakon utama Money Flower itu kini sedang berehat.
“Tiada penggambaran untuk hari ini, jadi dia dapat beristirehat dan pulihkan diri. Situasinya tidak serius, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan.”
Drama terbaru terbitan Netflix, Undercover merupakan siri noir aksi di mana Han So Hee memegang watak sebagai Yoo Ji-Woo yang bertekad untuk membalas dendam di atas kematian bapanya secara tiba-tiba. Dia kemudian bekerja untuk satu geng penjenayah yang menjual dadah, Dongcheonpa yang diketuai oleh Choi Moo-Jin.
Dengan bantuan Chou Moo-Jin dan demi membongkar punca kematian bapanya, dia bergabung dengan pasukan polis dan menjadi mata-mata di dalam kumpulan tersebut. Dalam drama ini, Han So Hee akan berlakon di samping Ahn Bo Hyun yang akan memegang watak sebagai Detektif Jeon Pil-Do.
Baca: 2PM Bakal Membuat Kemunculan Semula Mac Ini
Foto: 9ato Entertainment