Namanya cukup dikenali menerusi drama Princess Hours serta sitkom ketenteraan Blue Tower yang mengangkat popularitinya dalam kalangan penonton.
Pelakon Korea Selatan, Lee Yong-joo dilaporkan meninggal dunia secara mengejut pada usia 44 tahun akibat henti jantung pada 29 Ogos 2026.
Berita berkenaan pada awalnya dikongsikan oleh seorang kenalan rapat menerusi media sosial, yang menyifatkan pemergian Lee sebagai sesuatu yang mengejutkan dan sukar dipercayai.

Upacara pengebumian Lee Yong-joo berlangsung pada 31 Ogos 2026, selepas jenazahnya ditempatkan di Dewan Pengebumian Hospital Bundang Jesaeng, Seongnam, Gyeonggi.
Prosesi pengebumian dijadualkan pada jam 6.30 pagi, sebelum jenazah dibawa ke Pusat Kebudayaan Pengebumian Bandar Seongnam untuk proses seterusnya.
Lee Yong-joo pernah dedahkan mengenai masalah kesihatan jantung, didiagnosis dengan kardiomiopati hipertrofik.
Pada awal 2026, Lee pernah muncul di saluran YouTube milik pelakon Lee Jong-hyuk dan bercakap mengenai masalah jantung yang dialaminya. Beliau turut mendedahkan bahawa keadaan tersebut menyebabkan dirinya dikecualikan daripada menjalani khidmat ketenteraan wajib.
Media Korea sebelum ini melaporkan bahawa Lee pernah didiagnosis dengan hypertrophic cardiomyopathy (HCM) atau kardiomiopati hipertrofik, iaitu keadaan apabila otot jantung menjadi lebih tebal daripada biasa.

Kerjaya lakonan bermula pada 2004
Lee Yong-joo memulakan kerjaya dalam industri hiburan pada 2004 selepas terlebih dahulu bekerja sebagai model. Namanya kemudian dikenali menerusi beberapa produksi termasuk Princess Hours (2006), sebelum mendapat perhatian lebih besar menerusi sitkom Blue Tower (2013).

Watak dalam Blue Tower paling diingati
Dalam Blue Tower, Lee membawa watak seorang rekrut baharu yang kekok tetapi mencuit hati. Beliau turut muncul dalam New Recruit pada 2022, antara karya terakhirnya.
Baca: 10 Oktober 2026 Jadi Pilihan, Bella Astillah & Syed Saddiq Bakal Disatukan
