Tahun 2024 Mimi Lana mahu mengejar impiannya yang belum tertunai, meletakkan diri sebagai keutamaan dan live life to the fullest. Baginya ini adalah fresh start untuk hal-hal yang belum langsai.
Arahan Kreatif & Penata Gaya: Khairul Abidin, Penyelaras Kandungan Digital: Erdina & Eq Zulkifli, Fotografi: Edmund Lee, Rekaan Grafik: Amirul Arif & Hilman, Solekan: Khir Khalid, Dandanan: Ckay Liow.
“Bids I dah sampai,” kiriman teks dari Mimi Lana saat saya berjalan laju menuju ke restoran Opera, Starhill. Tidak ramai orang saat kami duduk makan di sana, waktu itu pun sudah melepasi waktu makan tengahari, jadi taklah terlalu sibuk. Kami berasa lapang duduk berbicara.
Mimi memesan banyak makanan petang itu. “I lapar,” ujarnya. “Mimi order saja apa-apa, Bids makan saja,” sampuk saya. Lama juga kami duduk berborak petang itu. Usai temubual saya menemani Mimi ke Sephora dan Pavilion. Kiranya petang itu memang Mimi khususkan untuk bersama-sama saya. Banyak yang kami bualkan petang itu dan tidaklah semuanya boleh dituliskan di sini buat masa ini.
PELAN KERJAYA
Bulan ini siri terbaru Mimi, ‘Frame’ akan mula ditayangkan di Astro Originals. Ada lapan episod semuanya. Membawa watak Lia, ini adalah kali pertama dia beraksi dalam sebuah karya bergenre penyiasatan. Ini juga debut pertemuannya bersama Meerqeen di depan lensa yang sama.
“Saya membawa watak seorang wartawan yang sedang dalam mencari ibu saya (Vanidah Imran) yang sudah hilang 10 tahun. Dalam pencarian ini menemukan saya dengan Meerqeen yang juga mencari abangnya yang hilang, juga seorang wartawan.”
Ditanya tentang pengalamannya bekerja dengan Meerqeen, jelas Mimi ia satu pengalaman yang ‘boleh tahan’. “Saya lihat Meerqeen ada usaha, dia tidak teragak-agak untuk bertanya atau meminta pendapat. Dia tunjukkan banyak improvement.”
“Tambahan pula kami bekerja di bawah arahan Sein (Ruffegde), yang memang teliti, dia memang guide dan control apa yang pelakon persembahkan. Dia tidak lepaskan begitu sahaja. Jadi saya rasa situasi ini banyak membantu semua pelakon di set,” kongsi Mimi yang juga pertama kali dipertemukan dengan aktres hebat Vanidah Imran dalam satu projek.
Kongsi Mimi dia cukup teliti melakukan persiapan sebelum masuk ke set baru. Setiap karakter dan watak yang digalasnya perlukan persiapan rapi. “Hendak cipta satu-satu watak itu perlukan masa untuk kita study, faham apa yang diperlukan.”
“Bagi saya sebulan adalah satu jangka masa yang sangat minimum. Bila kita ada masa untuk prep ia akan membuatkan kita lebih mudah untuk memahami dan menjiwai watak. ‘Gadis Kretek’ ambil masa dua tahun untuk prep. Makin lama waktu kita ada untuk prep, lebih bagus.” Baginya persediaan dan pemahaman yang dalam membuatkan lakonan lebih tampak asli.
Saya tanyakan Mimi, adakah mungkin untuk produksi di Malaysia membuat prep setahun atau lebih memandangkan realitinya pelakon di Malaysia tidaklah dibayar mahal seperti luar negara. Dan Mimi sendiri bersetuju kerana pelakon di Malaysia harus terus bekerja.
“Berbanding produksi luar, bajetnya lebih besar, jadi bayaran pelakon juga tinggi. Setahun satu projek mungkin sudah cukup untuk survive.”
“Tapi itu bukanlah satu mustahil kerana saya lihat banyak produksi sudah lihat betapa pentingnya prep bagi setiap projek. Biar pun ada kekangan bajet namun produksi kita tak kurang hebatnya. Kita masih mampu keluarkan karya yang dikira amat baik, jalan cerita kita juga menarik.”
Biar sudah sedekad bergelanggang di dalam dunia lakonan, namun dirinya masih disinggahi rasa gemuruh tiap kali masuk ke set baru. Baginya itu adalah lumrah bagi mana-mana pelakon. “Bila bawa karakter baru kita sendiri akan tertanya-tanya dengan diri sendiri, betul ke apa yang cuba kita zahirkan. Menepati atau tidak? Dan lagi satu saya amat mementingkan skrip yang bagus dan itulah yang membuka hati saya untuk menerima mana-mana projek.”
Baginya, skrip adalah hal nombor satu dan kedua ialah produksi. Kemudian barulah dinilai siapa pengarah dan pelakon gandingannya. “Jika skrip menarik saya tiada masalah. Saya sudah berlakon banyakw atak dan semestinya saya mahu sesuatu yang baru.
“Dan makin meningkat usia saya bukan sahaja mahu karakter yang berbeza tapi saya mahu sesuatu yang boleh meninggalkan impak, membuat orang berfikir.”
”Saya tak mahu lagi sekadar nampak cantik saja,” balasnya yang masih punya baki dua filem yang bakal ditayangkan tahun ini, iaitu ‘The Expert’ dan ‘Mencari Ramlee’.
Tambah Mimi lagi, sebagai pelakon semestinya ada satu dua projek yang menimbulkan rasa sesal. Tapi itu adalah satu ‘keperluan’. “Maksudnya apa Mimi?,” saya bertanya. “Bila ada yang tak bagus, barulah kita tahu membezakan apa yang bagus. Sebagai pelakon kita akan berkembang menerusi pengalaman. Jika kita asyik berlakon dengan projek yang hebat-hebat dari awal, selepas itu kita sendiri bingung apa yang lagi boleh kita berikan untuk sustain?”
Menyelusuri drama mahupun filem yang pernah dibintanginya, Mimi meletakkan siri ‘Perempuan Itu’ sebagai salah satu kebanggaan dalam resumenya setakat ini. Baginya siri itu biarpun tidak ditayangkan di televisyen namun impaknya sangat besar.
“Ini membuktikan jika karya itu bagus dan menarik, letaklah di mana platform sekalipun orang tetap akan tonton. Saya sendiri banyak belajar dari watak yang saya bawakan itu. Ia berkaitan dengan woman empowerment. ia membuka minda saya untuk memahami keseimbangan antara agama dan realiti kehidupan wanita hari ini. Dan Islam itu juga sendiri mendidik wanita untuk bangkit mempertahankan diri,” jelasnya yang turut berkongsi bahawa siri yang mencetus fenomena itu akhirnya akan muncul di TV3 Mac nanti.
Filem ‘The Expert’ menemukan sekali lagi Mimi dan Syafiq Kyle selepas ‘Pusaka’. Dan jelas Mimi ada banyak sebab mengapa mereka jarang menerima tawaran gandingan bersama. “Penilaian saya dan Syafiq akan satu-satu projek adalah berbeza. Tawaran yang datang memang banyak, selain masa, ada yang saya suka tapi Syafiq sebaliknya. Ada yang Syafiq rasa okey, tapi tidak pula bagi saya.”
Bila disuakan soalan tentang sasarannya dalam bidang lakonan, ucap Mimi dia masih menyimpan angan mahu bekerja dengan produksi luar negara. Baginya itu adalah satu peluang keemasan yang bukan sahaja akan membuka jalan yang lebih luas malah ia juga satu ruang untuk dia belajar.
“Tapi sebelum saya kejar peluang untuk berlakon dengan produksi luar, saya mahu merealisasikan hajat saya mahu menulis satu karya atau skrip saya sendiri. Selain itu besar harapan saya agar karya yang saya hasilkan itu mendapat perhatian orang luar.”
Bila ditanya siapakah aktor dan aktres yang dilihat punya potensi besar untuk menyerlah, jawab Mimi Shasha Abedul dan Hun Haqeem. “Saya kenal Hun Haqeem sewaktu dia mula-mula berlakon. Kami sama-sama di set ‘Cari Aku Di Syurga’. Walaupun itu projek pertama dia, tapi saya lihat dia memang boleh berlakon. Bayangkan untuk projek pertama orang dah nampak bakat dia. Shasha Abedul pula saya bukan sahaja melihat potensi dia sebagai pelakon malah saya juga tertarik dengan cara dia membawa diri.”
MIMI & KELUARGA
Mimi Lana dibesarkan dengan tiga beradik dan dia adalah anak kedua, dan dalam keluarga dia seorang sahaja perempuan. Jadi tidak hairanlah jika kita lihat betapa rapatnya Mimi dan ibunya, malah nampak seakan adik dan kakak.
“Saya dengan adik beradik yang lain memang berbeza. Saya tak ramai kawan, kawan-kawan saya adalah kawan-kawan abang saya. Bila kawan-kawan dia datang melepak di rumah, saya pun melepak sama.”
“Adik saya pandai melukis, abang saya pula cenderung kepada muzik. Adik saya memang power dalam melukis tapi dia senang untuk low key saja. Dia mahu duduk di Taiping saja. Sesekali saja ke KL jika ada yang panggil untuk dia lukis grafiti.”
Bila cakap tentang lukisan saya terus teringat beberapa lukisan yang saya lihat di rumah Mimi sebelum ini. “Tapi Mimi pun pandai lukis kan?” tanya saya. “Bolehlah sikit-sikit. Kat sekolah dulu selalu juga menang pertandingan melukis. Tapi kalau nak bandingkan dengan adik saya, jauh bezanya.”
MIMI LANA & SYAFIQ KYLE
Semua orang tahu rancangan perkahwinan Mimi dan Syafiq Kyle belum lagi terealisasi saat ini. Punca pembatalan saat akhir itu masih menjadi disimpan rapat-rapat, hanya dia dan Syafiq sahaja mengetahui mengapa. Namun Mimi percaya hal jodoh dan rezeki itu semua di tangan Tuhan.
“Kalau Allah kata belum sampai masanya, maknanya memang belum tiba waktunya. Saya percaya akan jodoh itu semuanya adalah ketentuan-Nya. Kalau dah jodoh, berpisah ke hujung dunia sekalipun kelak mesti bertemu. Kalau sebalikinya, jumpalah setiap hari pun kalau Tuhan kata belum masanya, belumlah.”
“Apa yang Mimi belajar dari hal yang terjadi ini?” “Pilih satu perkara dalam satu masa. Sentiasa letakkan diri sendiri sebagai pilihan pertama.”
“Kita jangan takut untuk live life to the fullest. Sebelum ini saya selalu takut untuk cuba benda baru. Tapi hari ini secara perlahan saya belajar dan buka ruang untuk saya kejar apa yang saya mahu dalam hidup.”
Kongsi Mimi lagi, dia tak sangka dia sekuat ini. “Pada waktu hal ini terjadi saya fikir saya akan rapuh. Saya sendiri terkejut yang saya boleh hadapinya dengan cukup tenang. Sedih, semestinya tapi saya selalu ingatkan diri untuk bersederhana dalam semua perasaan. Kita seronok dan sedih dalam kadar yang sederhana. Janganlah sampai tak ada rasa sedih langsung kerana itu tandanya kita heartless.
“Sebagai manusia kita kena embrace perasaan kita sendiri. Ambil ia sebagai perjalanan hidup kita. Saya sendiri bersyukur diberikan ujian ini kerana Allah mahu beri saya bermacam-macam rasa dalam hidup. Dalam masa yang sama Allah itu beri bimbingan bagaimana harus saya hadapinya.”
“Saya juga tak sangka saya boleh buat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa. Saya buat keputusan itu untuk diri saya sendiri. Kita tak ada menyalahkan sesiapa. Apa yang terjadi adalah ruang untuk refleksi diri masing-masing.”
Menurut Mimi biar apa pun yang sudah terjadi, Syafiq kekal menjadi antara orang yang sangat supportive. Malah Syafiq sangat menghormati apa jua pilihan saya.
“Saya kenal Syafiq dari saya umur 20 tahun. Saya membesar dalam industri dengan dia dan dia banyak mengajar saya untuk jadi seorang yang lebih confident, yang tahu meletakkan diri sendiri di tangga pertama. Kalau kita dah sayang seseorang itu bukanlah kita boleh buang begitu saja. Love itu bukan untuk kita control tapi kita let go untuk dia hidup.”
“Bagaimana pula dengan keluarga?” “Mereka semua okey dan sangat memahami. Kita berdua dari dulu memang selalu buat keputusan sendiri tapi itu tak bermakna kami membelakangkan keluarga. Kita terangkan dan bagi mereka faham.”
“Tapi peminat seakan seronok bila mengetahui Mimi dan Syafiq okey-okey saja. Bila gambar keluar makan bersama tersebar ramai yang mahu tahu status Mimi dan Syafiq?” “Kami dalam keadaan yang baik. Dan buat masa ini kami hanya mahu fokus pada kerja dan diri masing-masing. Itu saja yang boleh saya cakap.”
“Apakah tiga perkara yang membuatkan Mimi senang dengan Syafiq?” “Dia punya level of understanding yang tinggi. Jiwanya juga lembut. Lagi satu dia family guy, dia selalu meletakkan keluarganya sebagai keutamaan.”
Perbualan kami petang itu ditutup dengan perkongsian Mimi akan harapannya di tahun baru. “Dari segi kerjaya saya mahu buat sesuatu yang baru. Jika dari sudut kehidupan saya harap saya dapat beri lebih kepada orang lain.”
BACA: “Dalam hidup perlu sentiasa fikir plan b untuk back-up,”- Syafiq Kyle