Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Instagram Allahyarham Yus Jambu
Berita mengejutkan buat industri hiburan tempatan hari ini apabila mendapat tahu tentang perginya seorang pelakon dan pelawak, Yussry Edoo atau namanya yang lebih dikenali, Yus Jambu, 39 tahun malam tadi. Yus disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang semalam.
Allahyarham dikejarkan ke hospital tersebut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Selayang selepas mengadu sesak nafas. Sebelum itu, Allahyarham mengadakan persembahan di program Raja Band di Dataran Merdeka.
Allahyarham mula melakar nama di industri hiburan tanah air sebagai pelawak yang sentiasa disenangi ramai ketika memasuki program Raja Lawak dan bergelar juara pada tahun 2007. Kemudian beliau yang bergandingan dengan Tauke yang rakan seangkatan dalam pentas komedi dan membentuk kumpulan yang di gelar Jambu.
Berita sedih ini juga turut dimaklumkan oleh ramai rakan selebriti yang terkejut atas pemergiannya. Nabil Ahmad terus bergegas ke hospital selepas tamat siaran langsung Gegar Vaganza dan kumpulan Sepahtu yang baru memasuki konti sebagai barisan penyampai pagi di SinarFM turut mendedikasikan rancangan pertama mereka ini buat arwah.
Gambar: Instagram Afdlin Shauki
Gambar: Instagram Tauke Jambu
Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi menyatakan bahawa jenazah Allahyarham Yus akan dikebumikan di kampung halamannya di Perlis, hari ini.
“Allahyarham Yus Jambu akan dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Kampung Nesam, Batu Pahat, Kangar Perlis, hari ini,” kata Zed Zaidi kepada BERNAMA.
EH! mengucapkan takziah kepada ahli keluarga serta rakan-rakan selebriti Allahyarham Yus Jambu. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan yang beriman.