Berita perpisahan Taylor Swift dan teman lelakinya selama enam tahun, Joe Alwyn mengejutkan peminat di seluruh dunia.
Pasangan itu dilaporkan berpisah secara rahsia beberapa minggu lalu. Menurut sumber terdekat, perpisahan pasangan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan mereka melaluinya dengan tenang. “Perhubungan mereka telah pun sampai ke penghujungnya. Ia tidak dramatik. Sebab itulah Joe Alwyn tidak berada di sampingnya kebelakangan ini.”
Bagaimanapun peminat Taylor Swift berpendapat penyanyi itu telah memberi petunjuk perpisahan mereka ketika menjayakan konsert Eras Tour. Sewaktu membuat persembahan di Arlington, Texas pada 31 Mac lalu, bintang berusia 34 tahun itu dilaporkan menukar trek lagu nyanyiannya.
Dia sepatutnya menyanyikan lagu Invisible String, ‘surat cintanya’ yang terkenal buat Joe Alwyn. Bagaimanapun dia memilih The 1, lagu tentang bekas kekasih yang membariskan lirik, “It would’ve been fun if you would’ve been the one.” Kedua-dua lagu itu ditampilkan dalam album Folklore yang dikeluarkan pada 2020.
Seorang peminat membuat spekulasi bahawa mungkin Taylor Swift mengubah senarai lagu persembahannya kerana telah berpisah dengan Joe Alwyn ketika itu. Peminat itu memuat naik sebuah video di TikTok berserta kapsyen ringkas. “Baru saya sedar mengapa Taylor menggantikan lagu Invisible String dengan The 1.”