Gambar: Instagram Shila Amzah
Episod ‘perang’ Shila Amzah terhadap media semakin menarik apabila terbaru peminat fanatik penyanyi itu mengheret pula nama Datuk Siti Nurhaliza.
Menggunakan nama @abgfesyen, individu terbabit dalam statusnya mendakwa penghibur nombor satu negara itu memberikan hadiah kepada wartawan menyebabkan ramai memberi komen balas.
Malah menerusi Berita Harian, Siti yang lebih dulu membalas dakwaan itu tertanya-tanya mengapa namanya diheret sama selain menegaskan ia fitnah semata-mata. Beliau mengakui sudah lali dengan andaian sebegitu yang boleh membawa fitnah dan beliau membalas status berkenaan sebagai peringatan.
Nasihat juga dititipkan kepada Shila di akhbar sama, sebagai kakak beliau berharap penyanyi itu berfikir panjang sebelum memuat turun sebarang kenyataan di laman sosial.
Difahamkan Shila akan mengadakan sidang media pada 24 September berhubung isu tajaan konsertnya di Kuala Lumpur dua minggu lalu yang dilaporkan berkaitan syarikat judi. Namun, jemputan kepada pihak media yang hanya menerusi Instagram itu sekali lagi dilihat sebagai bahan provokasinya untuk membiarkan peminat fanatiknya mencerca media.