Umum tahu yang mana sebelum ini telah tersebarnya beberapa babak dari filem Dukun, namun ia tidak langsung mendedahkan pengakhirannya dan disebabkan itu anda perlu tonton di pawagam kerana pengakhirannya pasti buatkan anda tidak senang duduk.
Filem Dukun arahan sutradara tersohor, Dain Said sememangnya sebuah filem yang dinanti-nantikan oleh ramai orang sejak tahun 2006 lagi. Ia sepatutnya ditayangkan pada Disember 2006, namun telah disekat oleh pihak penapisan filem negara kerana isu-isu sensitif yang terkandung di dalam filem itu. Selama 12 tahun penantian, akhirnya kini anda sudah boleh menonton di pawagam bermula hari ini (5 April 2018).
Dukun dibintangi oleh nama-nama hebat termasuklah Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussein, Namron, Hasnul Rahmat, Elyana, Sofi Jikan, Allahyarham Ramli Hassan, Bront Palarae, Chew Kin Wah dan Jason Chong.
Karya yang dibawakan oleh Astro Shaw ini memaparkan kisah ketaksuban manusia yang begitu mendambakan kemewahan dan kecantikan, kerakusan dalam mendapatkan kuasa dan kedudukan yang tinggi serta menginginkan keremajaan abadi menerusi amalan syirik dan khurafat.
Bersandarkan pada kisah hidup serta pembunuhan yang mengaitkan Mona Fandey, ia banyak memainkan isu sejauh mana masyarakat kita mempercayai perkara-perkara khurafat dan syirik yang bertentangan dengan kemajuan dan pembangunan negara serta kepesatan dakwah Islamisasi.
https://www.youtube.com/watch?v=6I3U_UwRLmU
Disebabkan permintaan yang banyak, akhirnya pihak penapis filem membenarkan ia untuk ditayangkan kepada umum. Yang pastinya, filem ini pasti menghantui anda dengan lakonan hebat Datin Umie Aida yang memegang watak utama, Diana Dahlan yang menerusi filem itu menjadi pengamal aktiviti syirik.
Selain dari filem itu sendiri, lagu OST untuk filem Dukun turut dikatakan boleh membuatkan seram sejuk mendengarnya. Hasil ciptaan Atilia Haron, lagu berjudul Merana Jiwa dinyanyikan oleh Datin Umie Aida serta Elyana.