Teks: Khairul Abidin
Selepas lebih lima bulan ‘terperam’ akhirnya video muzik ‘Brutal’ Daiyan Trisha dilancarkan.
Selepas ‘Brutal’ debut di pentas EH! Top 20 tahun lalu, saya ternanti-nantikan video muziknya, sebabnya saya tahu Daiyan Trisha merakamkan video tersebut di Los Angeles. Akhirnya malam tadi video muzik ini secara rasminya dipertontonkan di YouTube.
Daiyan Trisha sempat berkongsi pengalamannya melunaskan video muziknya itu bersama EH!. “Tiada banyak beza dengan pengalaman saya bekerja dengan kru produksi di Malaysia. Cuma yang berbeza hanyalah suasananya sahaja. Jika ditanyakan tentang standard, tidak banyak beza.”
Kata Daiyan lagi 100 peratus lokasinya dilangsungkan di Los Angeles. “Bila menonton video muzik ini mungkin tidak ketara ia dirakamkan di Los Angeles kerana sebahagian besarnya dirakamkan indoor tapi ada juga scene yang kita buat di Chinatown misalnya. Vibe LA itu ada.”
Mendapat sentuhan solekan daripada Steve Kassajikian, Urban Decay Global Makeup Artist, menurut Daiyan dia paling sukakan scene di dalam bath tub.
“Saya sukakan creative vision sewaktu scene ini. Mereka guna projektor untuk mencipta kelainan.”
Video muzik ini mendapat sentuhan dua pengarah yakni Ithyle Griffith dan Angela Kohler, dan arahan fotografi sentuhan Patrick.
“I was on budget kerana penggambaran di Los Angeles sangat mahal, tambahan pada hari pertama penggambaran saya tidak sihat dan penggambaran terpaksa ditunda keesokan hari dan sebab itulah untuk hari kedua mekap dan rambut saya buat sendiri.”
Kongsi Daiyan lagi, model lelaki yang tampil dalam video muzik ini sebenarnya punya bakat menari yang hebat malah dia pernah muncul dalam filem ‘La La Land’.
Demi kualiti yang memuaskan, Daiyan sanggup menunggu lama asalkan hasil keseluruhan video berbaloi dengan apa yang dia usahakan selama ini. Kongsi Daiyan lagi video muzik ‘Brutal’ disunting oleh Adam Sinclair (suami Yuna) dan dia berterima kasih kepada kedua-duanya kerana sudi membantu menyempurnakan video muzik ‘Brutal’.
Jom tonton video muzik dan gambar belakang tabir penggambaran ‘Brutal’.