Internet kini hangat membahaskan satu kesilapan dalam filem terbaru arahan Christopher Nolan, Oppenheimer.
Mula ditayangkan di pawagam pada 21 Julai lalu, ia dibintangi oleh Cillian Murphy sebagai J Robert Oppenheimer, ahli fizik teori yang mendapat gelaran ‘Bapa Bom Atom’. Filem itu berlatarkan tiga garis masa; kehidupan awalnya dalam penemuan bom atom, perbicaraan keselamatan pada 1954, dan perbicaraan pengesahan Senat Amerika Syarikat terhadap Lewis Strauss pada 1959.
Walaupun Oppenheimer dipuji kerana ketelitian jalan cerita berlatarkan pertengahan abad ke-20, seorang penonton menemui khilaf pada satu adegan tahun 1945. Ia detik selepas pengeboman Hiroshima dan Nagasaki di mana Oppenheimer diminta memberi ucapan kepada orang ramai yang sedang bersorak sambil mengibar bendera Amerika Syarikat.
Penonton itu menyedari bendera yang dikibarkan mempunyai 50 bintang, sedangkan pada tahun 1945 ia hanya mempunyai 48 bintang. “Semuanya bagus mengenai filem ini, tapi saya akan jadi ‘seseorang’ yang mengkritik. Mereka gunakan bendera 50 bintang dalam babak tahun 1945,” tulisnya di Twitter.