Penyanyi asal smash hit ‘I Will Always Love You’ yang dimasyhurkan semula oleh Whitney Houston di era 90-an, Dolly Parton meninggal dunia pada usia 80 tahun.
Penyanyi, penulis lagu dan pelakon legenda Amerika Syarikat, Dolly Parton, meninggal dunia pada usia 80 tahun pada Selasa, sekali gus menamatkan kerjaya seni yang menjangkau lebih enam dekad.
Khabar pemergiannya dikongsi oleh anak saudaranya, Bryan Seaver, menerusi satu rakaman video yang dikongsi bagi pihak keluarga Parton. Sehingga kini punca kematian bagaimanapun belum didedahkan.
Sebelum kematiannya, Parton dilaporkan berdepan beberapa masalah kesihatan yang menyebabkan beliau menangguhkan dan kemudian membatalkan beberapa penampilan awam serta persembahan. Ada juga yang mengatakan masalah kesihatan dihadapinya ada hubung kait dengan penyakit barah.
Dolly Parton dilahirkan pada 19 Januari 1946 di Tennessee, dan cukup dikenali sebagai antara tokoh hiburan paling berpengaruh dalam sejarah muzik ‘country’ dengan deretan lagu hit termasuk Jolene, I Will Always Love You, 9 to 5 dan Coat of Many Colors.
Dia juga dikenang atas pelbagai sumbangan kebajikan, khususnya melalui program ‘Imagination Library’ yang menyediakan buku percuma kepada kanak-kanak bagi menggalakkan budaya membaca.
Selain kejayaan dalam bidang muzik, Parton turut mencipta nama di Hollywood menerusi filem seperti Steel Magnolias dan The Best Little Whorehouse in Texas, selain membangunkan taman tema terkenal Dollywood di Tennessee.
Dalam kenyataan keluarga, Seaver menyifatkan mendiang sebagai individu yang membuka peluang kepada generasi pemuzik, penulis lagu dan peminat di seluruh dunia untuk mengejar impian mereka.

Foto: Getty Images
UTUSAN PENGHORMATAN SELEBRITI
Pemergian Parton mencetuskan gelombang ucapan takziah daripada peminat dan tokoh industri hiburan, yang menyifatkannya sebagai ikon budaya serta antara artis paling disayangi dalam sejarah muzik AS.
“She is an angel walking on the earth, and we look like we could be sisters,” tulis Sabrina Carpenter di satu muat naik di Instagram. Sabrina Carpenter ada mengundang Dolly Parton untuk muncul di dalam lagu ‘Please Please Please’ dalam album ‘Short n’Sweet (Deluxe).
Donald Trump mengarahkan bendera AS dikibarkan separuh tiang di seluruh negara selama seminggu, sambil menyifatkan pemergian Parton sebagai ‘kehilangan besar bagi jutaan orang’.
“Tidak pernah ada insan sepertinya dan tidak akan ada lagi,” tulis Trump di rangkaian sosial Truth Social miliknya.
Parton bukan sekadar penyanyi, dia menulis 3,000 lagu, berlakon dalam filem-filem utama Hollywood serta menyumbangkan jutaan dolar kepada badan kebajikan di negeri kelahirannya dan kawasan lain.
Beliau juga seorang ahli perniagaan berjaya, dengan bidang perniagaannya merangkumi taman tema popular Dollywood, produk kosmetik, pakaian haiwan peliharaan, campuran bahan kek dan pastri, malah sebuah hentian trak.
Penghormatan bertali arus buat Parton, yang memenangi 10 anugerah Grammy dan 13 anugerah Academy of Country Music (ACM) sepanjang kerjaya panjangnya.
