Kisah perceraian selebriti sering menjadi topik hangat terutama di Hollywood.
Setelah bertahun-tahun menjalin hubungan dan mendirikan rumah tangga, lima pasangan terkenal ini membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing. Namun sama seperti filem Hollywood, proses perceraian mereka dipenuhi drama yang mengundang perhatian dan menjadi perbualan hangat di kalangan peminat.
Johnny Depp vs Amber Heard
Sewaktu Heard meninggalkan Depp pada musim panas 2016, dia mendakwa pelakon Pirates of the Caribbean itu melempar telefon bimbit ke arahnya. Tidak lama kemudian muncul perintah larangan, dakwaan peras ugut, perbalahan mengenai kewangan dan sebagainya. Bertahun kemudian, dokumen mahkamah mendedahkan bahawa Depp turut membuat dakwaan atas kes penderaan, menuduh bintang Aquaman itu menumbuk wajahnya ketika mabuk dan mencederakan jarinya dengan botol.
Lebih teruk, pembantu rumah mereka memberi keterangan berserta bukti bahawa Heard melakukan gurauan jijik dengan membuang air besar di katil Depp. Pihak Heard menafikan dan menjelaskan bahawa ia adalah najis anjing miliknya.
Ramai berpihak kepada Heard, sehinggalah satu rakaman audio antara pasangan ini tersebar pada awal tahun 2020. Menerusi perbualan tersebut, Heard terang-terangan mengaku melakukan keganasan terhadap Depp, malah mengatakan tiada siapa akan mempercayai jika dia mendedahkan perkara ini kepada umum. Pasangan ini sah bercerai pada 2017.
Brad Pitt vs Angelina Jolie
Setelah sedekad menjalin hubungan dan mendirikan rumah tangga selama dua tahun, Jolie menfailkan perceraian terhadap Pitt pada 2016. Kes ini tidak mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Jolie memohon hak penjagaan tunggal terhadap enam anaknya kerana menganggap Pitt tidak layak mendapat hak penjagaan disebabkan sikap panas baran dan isu penyalahgunaan dadah.
Pasangan ini kembali berhentam dua tahun kemudian apabila Pitt dikatakan enggan membayar jumlah nafkah anak yang mencukupi. Tidak berdiam diri, jurucakap Pitt menafikan dakwaan tersebut dan mendedahkan pelakon Ad Astra itu turut meminjamkan wang berjuta dolar kepada Jolie untuk membeli kediaman baru!
Kim Kardashian vs Kris Humphries
Hanya selepas 72 hari berkahwin, bintang realiti TV ini mengumumkan rancangan untuk bercerai pada 2011. Malah, proses perceraian itu sendiri memakan masa yang lebih lama berbanding tempoh perkahwinan mereka. Kim mengambil masa selama 500 hari untuk Kris menandatangani surat cerai kerana pemain bola keranjang itu percaya, Kim mengahwininya semata-mata kerana mahu menaikkan rating rancangan Keeping Up With The Kardashians. Kris akhirnya memberi persetujuan, hanya beberapa hari sebelum Kim melahirkan anak sulungnya bersama Kanye West.
Russell Brand vs Katy Perry
Brand menfailkan perceraian selepas setahun mereka bernikah dalam majlis bertemakan India yang gilang-gemilang. Lebih teruk, dia memberitahu Perry keputusan itu hanya melalui pesanan teks. Brand sering kali menggunakan isu rumah tangga mereka sebagai bahan jenaka bahkan memperlekeh kekurangan Perry di ranjang. Penyanyi Roar itu juga menyelar sikap buruk Brand yang suka mengongkong.
Jennifer Aniston vs Brad Pitt
Konflik rumah tangga pasangan ini menjadi semakin buruk apabila Pitt membintangi filem Mr. & Mrs. Smith bersama pelakon yang mendapat gelaran simbol seks, Angelina Jolie pada 2005. Aniston menfailkan perceraian pada tahun sama dan sebulan kemudian, Pitt dan Jolie dilihat menghabiskan masa berdua di pantai. Drama di antara Pitt dan pelakon siri Friends ini berterusan selepas bercerai, malah Pitt pernah mendedahkan kepada media bahawa perkahwinan mereka hanya membuang masa dan dia hidup dalam depresi ketika bergelar suami kepada Aniston.
Foto: Wenn