Majlis perkahwinan pasangan pengantin Di-Raja Brunei, Di-Raja Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah binti Adam berlangsung dengan penuh adat istiadat.
Istiadat perkahwinan Putera Mateen dan Dayang Anisha berlangsung di Masjid Sultan Omar Ali Saifudin, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam hari ini pada 1.15 petang.
Majlis bermula dengan keberangkatan ahli-ahli Kerabat Di-Raja Brunei disusuli keberangkatan masuk Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Putera Mahkota Brunei Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pangiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Istiadat dimulakan dengan empat orang Awang-Awang masuk ke dalam majlis untuk menunu Dian Empat atau lilin sebagai lambang keunikan adat istiadat Di-Raja dikuti dengan dua orang Awang-Awang masuk ke dalam majlis dengan membawa Kasur dan Namat, alat kebesaran Di-Raja.
Dengan sekali lafaz, Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah binti Adam selamat bergelar isteri kepada Di-Raja Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dalam majlis yang berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Majlis penuh sejarah itu turut disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Brunei (RTB) melalui platform digital dan elektronik.
Majlis Istiadat Perkahwinan Di-Raja Brunei itu berlangsung selama 10 hari dengan dimulai Majlis Istiadat Bersuruh Di-Raja pada Ahad lalu di Istana Nurul Iman.
Pasangan mempelai Di-Raja itu ditunangkan pada Selasa lalu, dalam Majlis Istiadat Menerima Tanda Di-Raja dan Pertunangan Di-Raja.
Selepas majlis akad nikah, ia akan diteruskan dengan istiadat bersanding pengantin Di-Raja di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman pada Ahad ini.
Ia kemudian diteruskan dengan Majlis Persantapan Di-Raja dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga di Darussidiq, Jerudong.
Sebaik sahaja lafaz qabul daripada Di-Raja Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Mateen disahkan oleh saksi, tembakan meriam sebanyak 17 das dilepaskan sebagai menandakan akad nikah Di-Raja telah sempurna dilaksanakan.
Baca: Segalanya Tentang Kisah Cinta Putera Mateen & Dayang Anisha