Oleh: Khairul Abidin
Kurang dari sebulan penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta, Misha Omar bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, Firos Ezzwan. Memilih tanggal 2 Mei 2014 sebagai tarikh bersejarah dalam kehidupannya, majlis pernikahan dan resepsi Misha Omar dan Firos bakal berlangsung di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan.
Sewaktu hadir ke penggambaran bersama EH! untuk satu projek istimewa sempena ulang tahun EH! ke-15 beberapa hari lalu, Misha sempat berkongsi serba sedikit tentang persiapan majlis perkahwinannya. Dia yang cantik disolekkan oleh Sheng Saw dan didandan oleh Bibian berkongsi cerita bahawa kakak yang juga merangkap pengurusnya, Mimie Omar adalah orang yang bertanggungjawab menguruskan segala perancangan dan persiapan majlis ini.
Dan di sini EH! kongsikan beberapa keping gambar sebalik tabir penggambaran Misha dan EH!
Menurut Misha, dia bakal menggayakan baju rekaan pereka kesayangannya, Syaiful Baharim dan Michael Ong. Pabila ditanya tentang rekaan baju tersebut, Misha sempat berseloroh, “Michael belum ambil ukuran badan saya lagi. Saya ada datang ke butiknya tetapi dia suruh saya balik dan kuruskan badan,” jawab Misha sambil ketawa. Dan tiga jurusolek yang namanya bermula dengan huruf ‘C’ dipertanggungjawabkan untuk menyolekkannya, iaitu Chomel, Cicie dan Chot.
Tambah Misha lagi, dia memang menjaga makan buat masa ini dan banyakkan aktiviti yang mengeluarkan peluh misalnya bermain badminton. “Saya pun tak nak pulang ke Kota Bharu awal sangat, bahaya! Makanan di kampung sedap-sedap,” tambahnya lagi.
Kepada Misha, kami di EH! doakan semoga majlis pernikahan dan resepsi berlangsung seperti yang dirancang.