Akhirnya pihak produksi drama Izinkan Aku Mencintaimu membuka mulut tentang dakwaan Afifah Nasir yang menyatakan produksi menyuruh dirinya untuk berpura-pura melayani Aliff Aziz.
Demi mendapat kenyataan rasmi dan jelas dari pihak produksi tentang dakwaan yang dibuat oleh Afifah Nasir sebelum ini, ramai wartawan telah pergi ke lokasi penggambaran drama itu yang dijadualkan untuk menyambungkan penggambaran sejak sekian lama tertangguh.
Pengarah drama tersebut, Mansor Akob menerangkan yang mana produksi tidak pernah menyuruh Afifah berbuat sedemikian. Bahkan, produksi hanya mengetahui tentang kes kontroversi mereka keluar ke sebuah pusat karaoke bersama selepas ia dimaklumkan pihak media.
“Ia hanya sekadar cakap kosong, pihak saya tidak pernah menyuruh Afifah membuat perancangan untuk menjalinkan hubungan rapat dengan Aliff sebagai mana didakwa,” katanya kepada mStar Online.
Menerusi penjelasan penuh dari adik kepada Anzalna Nasir baru-baru ini berhubung kes kontroversinya itu, Afifah menyatakan yang mana semuanya hanya lakonan semata dan dirancang oleh pihak produksi demi untuk memujuknya Aliff yang dikatakan mempunyai masalah disiplin dan sering tidak hadir ke set penggambaran.
Ketika itu, Afifah turut sempat memperdengarkan rakaman suara antara kakaknya Anzalna Nasir dan pihak produksi kepada media yang hadir. Namun rakaman suara serta intipatinya tidak dapat dikongsikan kepada umum.