Potret Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah yang kini berusia lima bulan mencuri perhatian ramai selepas dikongsikan kepada umum. Puteri sulung kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah itu dilihat semakin membesar dengan wajah yang comel serta senyuman yang mencairkan hati ramai.
Sejak kelahirannya pada 8 Februari 2026, Pengiran Anak Zahra Mariam sentiasa menjadi perhatian rakyat Brunei dan peminat institusi diraja. Kehadirannya melengkapkan kebahagiaan pasangan diraja yang mendirikan rumah tangga pada Januari 2024, selain menjadi cucunda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Nama Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah turut diperkenankan oleh baginda Sultan beberapa hari selepas kelahirannya.
Walaupun Putera Abdul Mateen dan Anisha Rosnah dikenali sebagai pasangan diraja yang cukup popular, mereka memilih untuk berkongsi hanya beberapa detik istimewa bersama cahaya mata sulung mereka. Setiap kali potret baharu dikongsikan, ia sentiasa menerima perhatian ramai dengan pelbagai komen yang memuji kecomelan puteri kecil itu serta mendoakan agar membesar dengan sihat dan sentiasa berada dalam lindungan-Nya.
EH! himpunkan potret-potret terkini Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam yang mencuri perhatian ramai.

Foto Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah bersama ayahandanya, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen, yang dikongsikan menerusi akaun Instagram rasmi baginda ketika percutian keluarga di London pada 16 April 2026.

Putera Abdul Mateen berkongsi mirror selfie bersama keluarga menerusi akaun Instagram peribadinya @tmski pada 22 Mei 2026. Foto tersebut memaparkan momen peribadi bersama isterinya, Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah, serta puteri mereka, Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah. Gambar berkenaan dikongsikan ketika puteri sulung mereka berusia kira-kira tiga bulan.

Momen santai yang memaparkan Putera Mateen segak dalam persalinan sukan, manakala keanggunan semula jadi isteri tercinta terpancar dalam busana merah jambu lembut yang sedondon dengan gaun comel Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah di pangkuannya.


Potret yang menunjukkan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sedang menyampaikan trofi kemenangan kepada anakanda baginda, Putera Abdul Mateen yang sedang mendukung puteri sulungnya, Pengiran Anak Zahra. Detik istimewa ini dirakam sewaktu berlangsungnya Kejohanan Polo Amal 2026. Kehadiran cucunda diraja yang comel berbaju kuning serta bertopi putih itu mencuri perhatian ramai dan menjadi tumpuan peminat kerabat diraja Brunei.

Acara Kejohanan Polo Amal 2026 yang berlangsung di Jerudong Park Polo and Riding Club, Brunei pada 11 Julai 2026 merakamkan detik keluarga diraja Brunei, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bersama isteri baginda, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah yang sedang memangku puteri sulung mereka, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah.

Perkongsian di Instagram milik Dayang Karraminah Clarisse Jefri Bolkiah, puteri kepada Pengiran Jefri Bolkiah,yang memaparkan momen manis bersama Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah yang sedang memangku puteri sulungnya, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah.

Foto santai yang menampilkan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, yang sedang memangku cucundanya, Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah. Foto momen hangat keluarga kerajaan ini diunggah pertama kali melalui media sosial Instagram di akaun peminat @anishaik.tmski serta platform TikTok.

Puteri Anisha kelihatan anggun mengenakan baju kurung moden rekaan khas berwarna navy blue daripada pereka fesyen terkenal, Teh Firdaus, lengkap dengan perincian kerongsang batu permata biru di bahagian dada bersempena dengan Majlis Mandi Belawat iaitu majlis kesyukuran tradisi masyarakat Melayu Brunei yang diadakan khusus bagi menyambut kelahiran anak sulung.
Artikel Berkaitan: Senarai Lagu Perkahwinan Di-Raja Brunei, Pilihan Putera Mateen & Dayang Anisha
