Dokumentari terbaharu Netflix, ‘Pretend It’s A City’ akan membawa anda menyusuri jalanan kota New York melalui mata (juga mulut) Fran Lebowitz dan Martin Scorsese.
Minggu lalu, saya terlintas dengan satu video mengenai sebuah dokumentari baharu di Netflix. Tidak salah ketika itu saya sedang melayari Twitter untuk mendapatkan berita politik negara terbaharu. Mata saya tertarik kepada figura yang seperti sedang berkongsikan kisah komedi dengan latar belakang kota New York sepanjang video treler itu. Tanpa berfikir panjang, saya terus menonton siri dokumentari ‘Pretend It’s A City’ ini.
‘Pretend It’s A City’ merupakan siri dokumentari tujuh episod yang menampilkan perbualan antara ikon dan penulis prolifik, Fran Lebowitz bersama Martin Scorsese. Pemenang Oscar itu juga bertindak sebagai pengarah dan penerbit kali ini. Perbualan antara dua sahabat lama itu cukup santai dan tiada tapisan, terutamanya daripada mulut Fran Lebowitz. Cukup menghiburkan dengan humor dan pandangannya yang tersendiri.
Dokumentari ini menbawa anda menyusuri jalanan kota New York melalui mata (dan mulut) ikon sebenar kota Big Apple sendiri. Penulis untuk majalah Interview itu berkongsikan perjalanan kehidupan di sekitar Manhattan sejak usia muda lagi. Dari kerjaya awalnya sebagai pemandu teksi kota New York kepada koleksi buku peribadi yang sudah melebihi 10,000 buah.
Setiap episod dirakamkan berdasarkan beberapa tema seperti duit, kesihatan dan buku. Tetapi ia tidak hanya fokus kepada tema tertentu sahaja. Fran menyelitkan kisah-kisah yang unik dan tersendiri, yang akan membuat anda tergelak juga terpegun. Seperti persahabatannya bersama Andy Warhol yang tidak beberapa baik. Pelbagai elemen lain turut disatukan seperti sesi soal jawab bersama penonton juga, yang dilihat memberikan suntikan warna pada dokumentari ini. Paling utama, pilihan runut bunyi yang digunakan memberikan kelainan cukup dramatik.
“Think before you speak. Read before you think.” – Fran Lebowitz
Saya berpeluang melawat kota New York awal tahun lalu ketika Minggu Fesyen New York. Dokumentari ini sedikit sebanyak telah mengubat kerinduan saya pada kesibukan dan kemegahan kota New York. Buat yang pernah (atau belum lagi) melawat kota New York, saya sarankan anda untuk menonton siri ini. Lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu.di rumah. Saya pasti dokumentari ini akan memberikan nafas yang segar sebagai pilihan untuk anda tonton nanti.
Baca lebih lanjut: 5 Momen Paling Dinantikan Peminat Muzik Pada 2021