Dua hari lalu, Priyanka Chopra Jonas melancarkan biografi pertama, Unfinished: A Memoir yang menceritakan kehidupan peribadinya di masa lalu dan harapan yang ingin dicapainya di masa hadapan.
Selain berkongsi pengalaman menyertai pertandingan ratu cantik, menjadi mangsa buli di sekolah Inggeris, peluang menyerlahkan bakat di Hollywood dan bergelar Mrs Nick Jonas, Priyanka turut mendedahkan satu lagi pengalaman pahit – digugurkan dari dua filem kerana pembedahan hidung yang gagal. “Saya berasa sangat kecewa dan putus asa,” ujarnya.
Kejadian tersebut berlaku ketika dia baru sahaja melangkah ke dalam industri seni setelah dimahkotakan gelaran Miss World 2000 pada usia 18 tahun. Priyanka memulakan kerjaya sebagai pelakon dengan membintangi beberapa filem Bollywood.
Sedekad kemudian, dia melebarkan sayap ke Hollywood setelah ditawarkan peranan utama dalam siri terbitan ABC, Quantico. Cukup membanggakan, dia menjadi pelakon Asia Selatan pertama yang memegang watak besar dalam rancangan televisyen Amerika.
Namun sebelum kerjayanya dalam bidang hiburan bermula, pada musim panas 2001 Priyanka mendapat tahu terdapat polip (ketumbuhan tidak berbahaya) di dalam rongga hidungnya setelah dia mengalami kesukaran bernafas.
“Polipektomi kedengaran seperti prosedur pembedahan biasa, namun malangnya, ia bukan seperti itu,” jelasnya. Doktor menipiskan tulang hidungnya secara tidak sengaja dan setelah pembedahan berakhir, dia dan keluarga terkejut melihat hasilnya.
“Tiada lagi hidung asli saya. Wajah saya kelihatan sangat berbeza. Itu bukan saya,” dia menambah. “Setiap kali melihat cermin, ibarat orang asing sedang melihat saya.”
Kata bintang We Can Be Heroes ini, situasi menjadi lebih buruk disebabkan pandangan masyarakat dan khabar angin yang tersebar. Ia memberi kesan kepada kerjayanya yang baru hendak bermula dan digugurkan dari dua filem (daripada empat filem), setelah penerbit mendengar bahawa wajahnya tampak berbeza selepas pembedahan.
“Kecederaan fizikal dan emosi saya masih belum pulih, muncul pula berita yang memberi tamparan lebih hebat dalam hidup saya.”
Jelasnya, filem tersebut sepatutnya menandakan kemunculan pertamanya sebagai pelakon setelah memenangi Miss World. “Kerjaya saya, kerjaya yang terlalu mementingkan penampilan fizikal nampaknya musnah sebelum ia benar-benar bermula.”
Peranannya dalam filem Bollywood berjudul The Hero: Love Story of a Spy juga ditukar kepada watak sampingan. Dia membuat penampilan pertama sebagai peranan utama dalam tawaran filem keempat, Thamizhan. Akuinya, pengalaman di set filem tersebut sangat positif, justeru membantunya meraih kembali keyakinan yang hilang.
Mengenai penampilan wajahnya, Priyanka mendedahkan ia menjadi normal dari semasa ke semasa setelah menjalani beberapa pembedahan memperbetulkan ‘kecacatan’ tersebut.
“Saya sudah boleh menerima wajah ini dengan hati terbuka. Kini apabila melihat ke dalam cermin, saya tidak lagi terkejut. Saya sudah boleh menerima perbezaan ini.”
Foto: Priyanka Chopra/Instagram
Baca: Priyanka Chopra Jonas Lancar Produk Penjagaan Rambut Vegan