Dari gelaran Miss World 2000, pelakon, ikon global dan pengarang, kini Priyanka turut bergelar usahawan dengan pelancaran jenama penjagaan rambut, Anomaly.
Sejak bertahun-tahun, isteri kepada pemuzik Nick Jonas ini sentiasa tampil ikonik dengan dengan gaya rambut memukau dan bertahan lama. Sama ada dalam filem Dostana atau Fashion mahupun stail bob panjang yang digayakan sekarang, dandanan Priyanka sering kelihatan chic.
Justeru tidak hairanlah jika bintang Baywatch ini membuat keputusan untuk melancarkan rangkaian penjagaan rambut sendiri, Anomaly yang berciri vegan sepenuhnya dan mesra alam (termasuk pembungkusan) dengan harga yang sangat berpatutan.
Priyanka berkongsi keterujaan mengenai pelancaran tersebut bersama 60 juta pengikutnya di Instagram.
“Inilah Anomaly. Saya bagaikan tidak percaya dapat memperkenalkan kepada anda semua jenama pertama ciptaan saya sendiri! Sejak 18 bulan lalu saya telah bekerjasama dengan rakan niaga di Maesa menuju hari di mana kami dapat berkongsi hasil usaha ini bersama seluruh dunia, dan saya tidak percaya masanya telah tiba.
“Saya telah mencuba dan mempelajari banyak mengenai penjagaan rambut selama bertahun-tahun…apa yang baik untuk rambut saya, apa yang tidak. Dan saya telah memasukkannya ke dalam rangkaian poduk ini untuk memberikan anda penjagaan sebaiknya. Rumusan yang digunakan adalah vegan dan bersih dengan kandungan berkualiti tinggi, dan botol kami diperbuat daripada 100% sisa sampah dari lautan dan tempat pembuangan sampah.”
Dijual pada harga serendah USD5.99 (RM24), Priyanka berkata, jenama ini menawarkan kecantikan mampu milik kerana ia tidak seharusnya menelan belanja besar dan seharusnya mampu dimiliki oleh semua orang.
Ia mula dijual di pasar raya Target, Amerika Syarikat sejak 31 Januari lalu dan akan berkembang ke pasaran seluruh dunia akhir tahun ini. Anomaly hadir dalam tiga produk iaitu syampu, perapi dan syampu kering.
Foto: Anomaly
Baca: Priyanka Chopra Dan Nick Jonas Kongsi Perancangan Bulan Madu Dan Zuriat