Bulan Ogos cukup bermakna buat semua rakyat Malaysia kerana tanggal 31 Ogos 1957 menjadi tarikh bersejarah apabila negara kita diisytiharkan merdeka dan bebas daripada cengkaman penjajah. Ini filem patriotik untuk bangkitkan semangat cintakan negara kita.
Tanggal 31 Ogos 1957, merupakan tarikh keramat buat seluruh rakyat Malaysia. Tarikh tersebut menandakan berakhirnya zaman penjajahan tentera British terhadap Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu. Hasil kemerdekaan itu membolehkan kita pada hari ini hidup dalam suasana aman makmur.
Penghargaan yang diberi kepada pahlawan dan pemimpin negara terlalu banyak dan salah satunya ialah menerusi karya seni yang dihasilkan oleh penggiat filem tempatan, sekali gus menyemarakkan semangat juang dalam kalangan anak-anak muda zaman kini.
Berikut ialah filem patriotik yang boleh ditonton seisi keluarga sempena bulan kemerdekaan ini.
Lahad Datu
Filem ini diinspirasikan daripada insiden sebenar yang terjadi semasa Ops Daulat yang pernah menggegarkan negara pada 11 Februari 2013. Waktu itu, pengganas Sulu telah menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah.
Pada akhir Ops Daulat, seramai 56 pengganas dilaporkan terbunuh bersama enam orang awam. Pertempuran juga mengakibatkan 12 orang wira negara gugur di medan perang setelah bergadai nyawa demi melindungi kedaulatan tanah air.
MALBATT: Misi Bakara
MALBATT ialah filem yang berdasarkan kisah benar operasi ketenteraan Malaysia untuk membantu menyelamatkan tentera AS yang terperangkap dalam perang saudara di Somalia pada 1993.
Filem ini telah ditayangkan pada 24 Ogos 2023 di Malaysia dan Singapura.
Paskal
Filem ini berdasarkan dari kisah benar, ia mengisahkan tentang kepayahan pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Khas Laut atau PASKAL dalam misi merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.
1957- Hati Malaya
Satu kumpulan berbagai kaum ini mewakili generasi muda Malaysia yang datang dari latar belakang dan pemikiran yang berbeza, berusaha untuk menerbitkan sebuah buku bergambar 1957 – Hati Malaya.
Dalam pencarian itu, mereka menemui pencintaan, persahabatan, kesetiaan dan memahami perjuangan 1957.
Bravo 5
Filem ini mengisahkan mengenai lima anggota Komando Tentera Darat yang menjalankan operasi mengekang kebangkitan pengganas komunis. Filem ini telah didedikasikan kepada para pejuang negara yang terkorban.
Tanda Putera
Filem ini mengisahkan tentang persahabatan yang akrab di antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan Timbalannya, Tun Dr. Ismail yang terpaksa berahsia serta mengetepikan masalah kesihatan yang dihadapi masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran daripada tercetusnya peristiwa hitam pada 13 Mei 1969.
Bukit Kepong
Cerita perjuangan pasukan polis dan masyarakat tempatan di Bukit Kepong, Johor melawan komunis pada tahun 1950. Kemuncak pertempuran berlaku pada 23 Februari di Balai Polis Bukit Kepong yang mempunyai 18 orang anggota.
Filem ini menggambarkan semangat waja yang ditunjukkan oleh pasukan polis, walaupun mereka diserang oleh 180 orang pengganas komunis, tetapi mereka tetap berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir untuk mempertahankan negara.
Leftenan Adnan
Mengisahkan tentang perjuangan pegawai tentera Tanah Melayu, Adnan Saidi (juga dikenali sebagai Leftenan Adnan), yang bertarung nyawanya demi menyelamatkan Tanah Melayu daripada penaklukan tentera Jepun semasa Perang Dunia II.
Filem ini turut memaparkan babak pertempuran terakhir Rejimen Askar Melayu berdepan kemaraan tentera Jepun yang jauh lebih ramai di Bukit Chandu sehingga mengorbankan Leftenan Adnan.