Gambar: TPGNews/John Stillwell/PA Wire
Aksi comelnya buat satu dunia teruja. Hari ini pewaris takhta Britain, Putera George berusia setahun. Sejak kelahirannya berita mengenai putera comel ini sentiasa menjadi buruan media dan tentu sekali ibu bapanya iaitu Duke of Cambridge, Putera William dan ibunya Duchess of Cambridge, Kate Middleton amat berhati-hati dalam mendedahkannya pada media. Namun ketika jelajah diraja beberapa bulan lalu, Putera George telah membuat penampilan umum dan sekelip mata menjadi sepopular kedua ibubapanya juga.
Sempena hari kelahirannya pada 22 Julai ini, foto kunjungan Putera George bersama ibubapanya ke pameran Sensational Butterflies di Natural History Museum awal Julai lalu diedarkan secara rasmi. Kini sudah pandai bertatih, anak sulung pasangan diraja ini semakin licik dan peka dengan keadaan sekelilingnya.
Menurut laporan media Britain, pasangan diraja ini turut membuat permintaan supaya sesiapa atau mana-mana pihak untuk tidak memberikan sebarang hadiah sempena hari kelahiran anak mereka. Difahamkan Putera George telah menerima ribuan hadiah sejak lahir dua belas bulan lalu malah pemberian dari kerajaan negara luar serta hadiah berupa penamaan haiwan di zoo. Lambakan hadiah yang diterima sebelum ini tidak semuanya disimpan dan kebanyakannya diberikan kepada badan kebajikan.