Akhirnya, Rain dan Kim Tae Hee disatukan dalam sebuah majlis tertutup di Gaoe Catholic Church semalam.
Upacara perkahwinan secara katolik pasangan Korea ini turut dihadiri oleh rakan artis termasuklah JYP, PSY dan Honey Lee yang datang menjadi saksi.
Sebaik pasangan ini disahkan sebagai suami dan isteri, Rain dan Kim Tae Hee terus berkongsi gambar majlis perkahwinan mereka berserta sepucuk surat yang ditulis oleh Kim Tae Hee buat peminat-peminat mereka.
Berikut adalah tulisan Kim Tae Hee dalam suratnya yang dimuat naik ke dalam akaun Instagram miliknya.
Hello, ini adalah Kim Tae Hee.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan ucapan tahniah dan sokongan kepada kami meskipun berita ini diumumkan secara mengejut.
Hari ini adalah hari pertama untuk kami memulakan perjalanan jauh kami berdua sebagai suami isteri dan saya mahu langkah pertama ini disertakan dengan restu dari semua peminat-peminat kami yang sentiasa menyayangi dan menggembirakan kami.
Kami akan sentiasa hormat menghormati antara satu sama lain dan sama-sama bangun pabila diambang kejatuhan demi untuk kehidupan yang terbaik.
Saya akan membalas segala momen indah yang awak telah tunjukkan kepada saya dengan cinta sepenuh hati sebagai seorang isteri dan aktres yang lebih matang.
Saya juga akan menjalani kehidupan sebagai seorang pasangan yang boleh diharap dan memberi segala sokongan.
Saya berdoa semoga tahun ini dipenuhi dengan kebahagiaan dan kegembiraan untuk anda semua serta jangan lupa untuk sentiasa menjaga kesihatan yang baik ketika musim sejuk sekarang ini. Sekali lagi saya mahu mengucapkan terima kasih kepada anda semua.
2017. 1. 19 dari Kim Tae Hee.
Meskipun ramai peminat dan media yang menanti di luar lokasi perkahwinan pasangan ini untuk cuba melihat kelibat pasangan terkenal di Korea ini, barisan pengawal sentiasa mengawal ketat gereja tersebut demi mengelakkan dari diceroboh masuk oleh sesiapa yang tidak diundang.
Ini sekaligus menjadikan upacara itu berlangsung dengan tertutup dan lebih intim.