Anda rindu melihat kelibat bintang K-pop terkenal, Rain di kaca televisyen? Nampaknya impian itu bakal menjadi kenyataan.
Agensi pengurusan, Sublime Artist Agency mengesahkan minggu lalu bahawa Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-hoon akan memainkan watak utama sebagai Cha Young-min dalam drama medik fantasi terbaru, Ghost Doctor.
Drama ini mengisahkan tentang dua doktor yang mempunyai latar belakang, kemahiran perubatan dan personaliti berbeza namun bersatu dalam satu tubuh dan jiwa.
Cha merupakan seorang pakar perubatan yang sangat berkemahiran namun mempunyai sifat bongkak dan mementingkan diri sendiri. Setelah terlibat dalam beberapa insiden tidak dijangka, dia berubah karakter setelah rohnya memasuki tubuh seorang doktor lain.
Drama ini diterbitkan oleh syarikat produksi Bon Factory yang mencipta nama menerusi pelbagai drama hit antaranya Master’s Sun (2013), What’s Wrong With Secretary Kim? (2018) dan Encounter (2018).