Rancangan sempena hari raya pasti menjadi satu rutin yang wajib ditonton seisi keluarga. Apa kata putar balik masa, daripada jalan cerita yang sedih mahupun kelakar, EH! kongsikan rancangan raya ikonik untuk anda tonton!
Ketibaan Hari Raya pasti membuatkan semua berasa teruja kerana waktu itulah kita dapat mengeratkan hubungan satu sama lain dengan keluarga dan sanak saudara yang sudah lama tidak ketemu dek penjarakkan jauh.
Selain makanan dan salam bermaafan, filem dan drama sempena Hari Raya juga menjadi salah satu tarikan pada hari raya apabila semua sudah keletihan beraya. Putar kembali ke zaman dulu, banyak seleksi filem dan drama ditayangkan waktu Raya, menjadi ikonik di mana orang akan tonton semula berulang kali tanpa rasa bosan.
EH! himpunkan rancangan yang pasti membuatkan anda teringat momen-momen zaman dahulu.
I know What You Did Last Raya
Filem ini mengisahkan doktor yang bernama Mira bersama rakan-rakannya, Roslan, Fazzley, Yassir dan Shahida telah diculik oleh penjahat bernama Man akibat daripada dendam yang telah sekian lama tersimpan.
Sementara itu, ada misteri yang berlaku pada malam raya, menyebabkan huru-hara satu kampung.
Raya Tak Jadi
Filem ini bermula dengan seorang ahli perniagaan iaitu Leo yang bakal mengalami kerugian yang banyak kerana kontena yang berisi kurma-kurma yang ingin dijualnya sebelum raya tidak sempat sampai.
Oleh itu, dia telah merancang untuk menunda hari raya dengan menculik Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Hj. Ehsan.
Aidilfitri Di Bulan Syaaban
Filem ini mengisahkan tentang kehidupan tiga sahabat kampung yang bekerja di ibu kota. Azli adalah seorang doktor yang selalu mendapat kunjungan kawannya saiful yang datang untuk mendapatkan cuti sakit
Oleh kerana terlalu kerap saiful datang ke klinik beliau azli pun bercadang untuk membuat pemeriksaan secara detail. Setelah keputusan keluar saiful didapati mempunya satu penyakit yang membuatkan umur beliau pendek.
Takbir Suci
Filem ini mengisahkan tentang ketamakan seorang anak angkat terhadap harta peninggalan ibu angkatnya itu membuatkan anak itu hilang pertimbangan sebagai manusia waras untuk menggapai impiannya mewarisi harta peninggalan yang kelihatan banyak, ditambah oleh beberapa bidang tanah yang disewa dan juga hasil kutipan getah.
Ketupat Terakhir
Pada malam raya, Rahim dan isterinya, Dira akan berangkat ke Paris. Dengan pertolongan Wahid anak muda yang selalu membantunya, Mak Nen telah pergi ke KL dengan menaiki kereta lama Wahid. Orang gaji memberitahu yang mereka telah pergi keluar negara membuatkan hati Mak Nen hancur.
Sinar Penghujung Takbir
Filem ini mengisahkan tentang Senah, seorang ibu yang cacat penglihatan berharap agar dapat ditemukan dengan anak lelakinya sendiri. Semuanya gara-gara suami Senah yang mengambil anaknya semenjak dia lahir dan berjanji untuk memulangkan semula anaknya pada Hari Raya pertama.
Ketupat Daun Kering
Drama ini mengisahkan seorang ibu dengan 5 orang anak, seorang menantu dan seorang anak angkat. Semasa si ibu sedang menunggu kepulangan anak-anaknya, satu tragedi menyedihkan telah berlaku di mana keempat-empat orang anaknya meninggal dunia kerana terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Menantu si ibu terselamat, tetapi meninggal dunia selepas melahirkan anak.
Abah Tak Balik Malam Raya
Basri merupakan anggota penyelamat Bomba berkahwin dengan Murni. Mereka mempunyai dua orang anak iaitu Bobby dan Zara. Malangnya Basri terkorban sehari sebelum bermulanya bulan Ramadhan.
Melihat adiknya yang selalu asma setiap kali merindui abah mereka. Zara selalu memujuk adiknya yang abah mereka akan pulang pada malam raya nanti.