Tidak dinafikan ramai peminat di Malaysia yang obses dengan rancangan Running Man (SBS) dari Korea Selatan ini. Dan tidak hairanlah mengapa Yoo Jae Suk, Kim Jong Kook, Ji Suk Jin, Haha, Gary, Song Ji Hyo dan paling popular antara mereka Lee Kwang Soo menjadi kegilaan peminat di Asia.
Tetapi mungkin tidak ramai yang tahu ada pelbagai lagi rancangan variety yang menarik dan popular di Korea Selatan untuk anda tonton. Jom lihat senarai ini untuk pelbagaikan tontonan anda.
Infinite Challenge (MBC)
Kini sudah lebih 10 tahun rancangan ini sejak ia bermula pada 2005 disiarkan dan digelar “the nation’s variety show”. Sejak 2013, Infinite Challenge berada di tangga pertama sebagai rancangan bukan drama pada hari Sabtu. Barisan personaliti juga antara penyumbang kepada kejayaan rancangan ini yang terdiri dari Yoo Jae Suk, Park Myeong Soo, Jeong Jun Ha, Haha, Lee Kwang Hee dan Jeong Heong Don (yang kini sedang berehat).
Rancangan tanpa skrip ini pada setiap episod akan meminta ahlinya untuk menyempurnakan cabaran tertentu atau projek yang punya agenda yang lebih bermakna. Ada kalanya kelakar, ada kalanya tidak masuk akal, terlalu mencabar, menyayat hati dan tentunya amat menghiburkan. Mereka akan kembara ke lokasi dalam negeri mahupun ke luar negara untuk tugasan ataupun dicabar untuk memahirkan diri dalam sesuatu skil baru.
2 Days 1 Night (KBS)
Kembara enam lelaki ke seluruh Korea Selatan dan melakukan pelbagai cabaran ini adalah antara rancangan paling popular di Korea Selatan. Kim Jong Min, Cha Tae Hyun, Kim Junho, Defconn, Jung Joong Hyung dan ahli terbaru Yoon Shi-Yoon melalui pelbagai cabaran untuk terima ganjaran makan tengah hari atau makan malam menu tempatan. Dan mereka juga perlu berdepan dengan game bok-bul-bok bagi menentukan aturan tempat tidur sama ada di dalam ruang selesa atau di luar/khemah.
Rancangan ini adalah program emas bagi stesen KBS dan sering dinobatkan anugerah unggul selain barisan ahlinya yang turut diberi pelbagai anugerah dalam kategori tertentu. Walaupun sering bertukar ahli, ia masih mengekalkan konsep kembara dan hiburannya dengan idea segar dalam setiap episod.
The Return of Superman (KBS)
Ini adalah rancangan popular yang juga bersiaran setiap Ahad sebelum 2 Days 1 Night. Populariti rancangan mengenai bapa yang perlu menjaga anaknya dalam masa 48 jam ini memuncak apabila Song Il-Kook bersama kembar tiganya menyertai program ini. Kini rancangan ini bertukar keluarga apabila kanak-kanak yang ditampilkan terdahulu sudah membesar.
Barisan bapa terkini adalah Lee Hwi Jae, Kim Dong Gook, Ki Tae-Young, Lee Beom Soo, Yang Dong Geun, Oh Ji Ho dan In Gyo Jin. Tentunya keletah bersahaja anak-anak mereka yang menjadi tarikan rancangan ini.
Oh My Baby (SBS)
Hampir sama dengan The Return of Superman, tetapi formatnya adalah dengan menampilkan seluruh keluarga. Mereka dirakam mengharungi kehidupan seharian dan bagaimana pasangan selebriti mendidik anak mereka serta berdepan dengan pelbagai karenah anak-anak. Antara keluarga popular adalah Shoo bersama anak kembarnya Ra Hee & Ra Yul dan keluarga terdahulu Kim Tae Woo serta keluarga Ricky Kim.
Rancangan lain yang EH! cadangkan anda tonton:
- Happy Together (KBS) – bual bicara santai dengan artis undangan
- Star King (SBS) – persembahan bakat unik secara live
- We Got Married (MBC) – artis muda yang dipasangkan dan menjalani kehidupan bersama/bercinta
- Let’s Go Dream Team (KBS) – artis berentap harungi cabaran fizikal
- Hello Counselor (KBS) – bual bicara menyelesaikan masalah masyarakat
- Real Men (MBC) – selebriti yang dihantar berlatih sebagai askar
- Immortal Song (KBS) – penyanyi berentap menyanyikan semula lagu lama
- Cool Kiz On The Block (KBS) – artis secara berkumpulan berentap dalam acara sukan terpilih
- Duet Song Festival (MBC) – penyanyi berduet bersama penyanyi amatur