Pelakon kacak dari seberang, Randy Pangalila kini bergelar bapa kepada dua cahaya mata selepas isterinya, Chelsey Frank melahirkan anak lelaki sulung mereka seminggu lalu.
Khabar gembira itu dikongsi bersama peminat menerusi satu hantaran di Instagram. “Syukur kepada Tuhan atas hari yang sangat indah ini. Rabu, 21 Jun 2023 tepat pukul 2.49 petang anak kedua kami, Asher Griffin Pangalila dilahirkan dalam keadaan sihat dan selamat.” Randy Pangalila turut berkongsi foto isteri dan anaknya yang baru dilahirkan berserta kapsyen, “Terima kasih atas kurniaan wanita cantik ini. Saya cintakan kamu dengan sepenuh jiwa raga.”
Menurut laporan Kompas, anak kedua pasangan itu dilahirkan dengan berat 3.64 kilogram dan panjang 53 sentimeter. Sama seperti kelahiran pertama, Chelsey Frank terpaksa menjalani pembedahan mengikut nasihat doktor kerana kedudukan bayi dalam kandungan tidak sesuai untuk proses kelahiran normal.
“Pada awalnya isteri mahu cuba bersalin secara normal, namun doktor menyarankan prosedur pembedahan disebabkan kedudukan bayi ketika itu. Ia demi kebaikan ibu dan anak. Proses bersalin kali ini berjalan lancar kerana kami sudah ada pengalaman menyambut kelahiran anak pertama sebelum ini,” katanya.