Di hadapan kamera, Juju Yahya miliki pesona seorang model yang sukar dialih pandang, tatapan mata yang bercerita, gerak tubuh yang penuh yakin dan aura yang memikat lensa. Seorang gadis muda berusia 23 tahun yang sudah lima tahun membina nama dalam industri peragaan, membina laluannya sendiri dari media sosial ke pentas peragaan dan kini, ke muka depan EH!
Suasana studio yang sibuk, lampu sorot yang silau, jurugambar yang tekun mengatur lensa. Namun di tengah-tengah kesibukan itu, Juju hadir dengan senyuman ramah, menyapa setiap orang di set dengan nada suara yang mesra. Personalitinya jelas kontras dengan stereotaip seorang model yang dikaitkan dengan wajah serius dan sikap dingin.
Soalan pertama yang saya ajukan kepada Juju, “bilakah dia merasakan kerjaya model sebagai satu kerja impiannya?” Kata Juju, sedari awal dia sudah tahu apa yang diinginkan. Sambil tersenyum, dia berkongsi bahawa cita-citanya untuk menjadi model telah pun direkod sejak kecil, ia tertulis rapi di helaian buku diari miliknya. Apa yang dahulu sekadar impian di atas kertas, kini menjadi kenyataan yang dibinanya dengan kerja keras.
Dia tahu bila perlu memberikan “wajah editorial” yang tajam di hadapan kamera, dan bila perlu kembali menjadi dirinya yang santai, penuh gelak tawa. Ikuti temubual saya bersama Juju Yahya.

Bagi mereka yang pertama kali bertemu Juju melalui muka depan ini — siapakah Juju Yahya?
Nama saya Juju Yahya. “Juju” adalah nama sebenar saya, manakala “Yahya” adalah nama ayah saya. Gabungan ini dipilih untuk memberi identiti yang lebih antarabangsa dan unik. Saya kini bekerja sepenuh masa sebagai model dan saya graduan dalam jurusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) dan Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Pengiklanan), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Pada masa ini, saya bernaung di bawah dua agensi:Who Knows di Indonesia dan Topboi Citizen di Malaysia. Saya seorang yang peramah dan mudah mesra, namun kini saya lebih bersederhana dalam interaksi harian.
Walaupun berusia 23 tahun, saya sering merasakan tubuh saya seperti berusia 45 tahun kerana aktiviti harian yang aktif, namun dari segi pemikiran, saya masih berasa muda dan ingin terus belajar serta berkembang.
Satu perkara yang orang sering salah faham tentang bidang peragaan?
Ramai beranggapan bahawa model bersikap sombong, terlalu mengawal pemakanan, dan sentiasa terikat dengan diet yang ketat. Hakikatnya, kebanyakan daripada kami adalah individu yang mesra, saling menyokong antara satu sama lain, dan mempunyai personaliti yang ceria.
Bila Juju sedar bahawa bidang ini boleh jadi lebih daripada sekadar impian waktu kecil?
When people recognized me as Juju “The Model”.
Bagaimana fesyen membantu Juju mengenali diri sendiri?
Segalanya bermula secara spontan di TikTok, apabila saya memuat naik video dan mendapat maklum balas positif daripada orang ramai yang mengatakan saya berpotensi menjadi model. Dari situ, saya mula bereksperimen dengan gaya dan penampilan, dan menyedari bahawa fesyen adalah medium untuk saya mengekspresikan diri.
Saya mendapat peluang pertama dalam bidang ini sekitar usia 20 hingga 21 tahun, ketika pandemik COVID-19. Sejak itu, saya sering menjadi antara yang termuda di set penggambaran, dimana pengalaman tersebut memberi saya keyakinan, kematangan dan rasa seronok untuk terus berkembang dalam dunia fesyen.
Adakah Juju rasa paling berkuasa di depan kamera — atau ketika tidak bekerja?
Di hadapan kamera!
Bagaimana Juju membawa personaliti ke dalam pose atau gaya berjalan?
Saya banyak menonjolkan ekspresi wajah dan pandangan mata sebagai kekuatan utama. Bagi saya, mata mampu menyampaikan emosi dan cerita tanpa perlu kata-kata. Dalam setiap pose atau langkah di pentas peragaan, saya cuba memadukan karakter diri dengan mood sama ada tegas, misteri atau berkarisma supaya hasilnya bukan sekadar visual, tetapi juga bercerita.
Apabila tidak memperaga, apa yang membuatkan Juju lebih ‘real’?
Saya gemar meluangkan masa di kafe, menikmati secawan kopi, dan berbual santai bersama rakan-rakan, terutamanya rakan seindustri.
Bagaimana Juju kekal yakin apabila tidak berada dalam keadaan terbaik?
Saya sentiasa mengingatkan diri, “There’s always tomorrow” dan melihat sesuatu dari sudut yang lebih positif.

Apa itu kecantikan bagi Juju ?
Bagi saya, kecantikan datang daripada personaliti. Semakin meningkat usia, saya semakin percaya bahawa sifat baik hati dan keikhlasan jauh lebih berharga daripada penampilan semata-mata.
Dulu, saya fikir kecantikan hanya tentang bagaimana rupa kita, tetapi kini saya sedar bahawa bersikap baik kepada semua orang, walaupun kepada mereka yang mungkin tidak berlaku baik kepada kita, adalah kunci kecantikan sebenar.
Bagaimana Juju mengimbangi tekanan media sosial dengan menjadi diri sendiri?
Saya lebih suka merakam dan berkongsi momen secara semula jadi, tanpa terlalu memikirkan pandangan orang lain. Media sosial bagi saya ibarat album kenangan, tempat saya mengabadikan detik-detik yang saya hargai, sama ada keluar bersama rakan, menikmati kopi di kafe atau sekadar berada di rumah.
Apa yang saya kongsikan mencerminkan kehidupan sebenar saya, bukan sesuatu yang dibuat-buat. Ada masa saya aktif, ada masa saya senyap. Comment atau pandangan orang lain adalah hak mereka, tetapi bagi saya, yang penting ialah saya gembira, selesa dan jujur dengan cara saya memilih untuk berkongsi hidup saya.
Apa yang Juju mahu kerjaya peragaan sampaikan, bukan sekadar berlawa-lawa?
Saya mahu orang melihat bahawa setiap langkah dalam kerjaya ini datang daripada kerja keras dan usaha terbaik yang saya berikan setiap masa. Saya ingin dikenali sebagai model yang serba boleh, berani mencuba pelbagai konsep dan cabaran, serta tidak terhad kepada sekadar imej “model cantik” semata-mata.
Apakah detik pertama “I made it” Juju ?
Pertama kali diberi peluang untuk berjalan di pentas peragaan jenama tempatan, Bulan Bintang, di Menara Kuala Lumpur (KL Tower). Lebih istimewa, pengalaman itu diikuti dengan kemunculan saya dalam sebuah majalah bercetak dan secara rasmi menandatangani kontrak sebagai model. Saat itulah saya benar-benar merasakan, “I made it!”
Adakah Juju ditemui atau membina laluan sendiri?
Saya boleh katakan bahawa saya membina laluan sendiri pada peringkat awal melalui media sosial. Dan daripada usaha itu, beberapa jenama mula menemui saya melalui Instagram dan membuka pintu peluang untuk mengembangkan kerjaya dalam industri peragaan.
Juju membesar dengan media sosial, bagaimana ia membentuk personaliti Juju ?
Membesar dengan media sosial seperti TikTok dan Instagram membuatkan saya sentiasa terdedah kepada pelbagai gaya hidup, idea dan cara orang mengekspresikan diri. Saya suka memerhati, mengambil inspirasi sedikit demi sedikit daripada apa yang saya lihat dan menyesuaikannya mengikut cara hidup saya sendiri. Bagi saya, media sosial bukan sekadar hiburan, tetapi ruang untuk belajar, mencari inspirasi dan membentuk identiti yang selari dengan diri sebenar.
Adakah berada di alam maya kini sebahagian daripada kerja, atau Juju letakkan sempadan?
Bagi saya, media sosial kini ibarat portfolio untuk seorang model, ruang untuk mempamerkan karya dan personaliti kepada khalayak serta jenama. Namun, saya tetap mengekalkan elemen misteri, tidak semua perkara perlu dikongsi.
Bagaimana Juju menggunakan platform dan melindungi ketenangan diri?
Saya berkongsi secara rawak dan mengikut rasa hati, sama ada memuat naik sesuatu yang menarik perhatian atau sekadar momen peribadi. Namun, apabila saya merasakan perlu berehat, saya tidak teragak-agak untuk “menghilang” beberapa hari daripada media sosial hahaha…
Apa yang masih Juju pelajari dalam peragaan atau kehidupan?
Saya masih belajar untuk tegas menyuarakan keperluan dan pendirian diri, tetapi dengan cara yang penuh hormat.
Apa yang menginspirasikan gaya Juju di depan dan di luar kamera?
I love challenge! Di hadapan kamera, saya gemar menampilkan sisi glamor sambil benar-benar menyerlahkan keindahan dan karakter pakaian yang digayakan. Namun, di luar kamera, saya cenderung kepada gaya yang bersih, minimalis. Timeless!
Bagaimana Juju kekal berpijak apabila segalanya terasa pantas dan terlalu terdedah?
Saya tidak meletakkan tekanan berlebihan kepada diri sendiri. Sebaliknya, saya akan menikmati setiap pengalaman sebaik mungkin dan menghargai momen yang datang!
Apa maksud berada di muka depan majalah ini untuk Juju?
Sejujurnya, saya pernah meragui kerjaya sendiri kebelakangan ini, mungkin terlalu banyak memikirkan perkara yang tidak perlu. Namun, peluang menghiasi muka depan EH! mengingatkan saya bahawa inilah pekerjaan yang saya cintai, inilah minat yang membuatkan saya berasa hidup. EH! cover shows that I’m here for a reason.