Walaupun Recording Academy telah mengumumkan nama 22 penghibur yang bakal membuat persembahan di Anugerah Grammy ke-63, ternyata masih ada kejutan.
Penyanyi duo Silk Sonic, Bruno Mars dan Anderson .Paak yang popular dengan lagu Leave the Door Open mendedahkan mereka akan turut menghiburkan peminat di pentas Grammy.
Beberapa hari lalu, Mars yang pernah membuat persembahan sebanyak lima kali di anugerah itu secara terbuka merayu Academy untuk memasukkan Silk Sonic ke dalam senarai. Surat rayuannya dilihat cukup santai dan menghiburkan.
“Kepada Grammy, jika anda boleh melihat dengan mata hati untuk membenarkan dua pemuzik menganggur membuat persembahan di majlis anda, kami akan sangat menghargainya. Kami baru sahaja melancarkan sebuah lagu dan mahu mengambil peluang ini untuk mempromosikannya.”
Dia turut berjanji Silk Sonic akan mengikuti segala protokol keselamatan dan sempat berjenaka bahawa mereka sanggup menghadiri uji bakat untuk mendapatkan peluang tersebut.
“Sudah agak lama kami tidak membuat persembahan dan kami hanya ingin menyanyi. Kami akan menghantar pita rakaman uji bakat dan melakukan sebanyak mana pun ujian Covid-19 yang diperlukan. Saya berjanji kami tidak akan melebih-lebih. Kami hanya mahu membuat persembahan. Saya berharap anda akan mempertimbangkan permintaan ini dan memberi peluang untuk kami bersinar.”