Beberapa bulan lalu Rebel Wilson berkongsi perkembangan terbaru mengenai transformasi tubuhnya setelah setahun bersenam dan mengawal pemakanan. Penampilannya yang langsing nyata mengejutkan peminat.
Kini bintang The Pitch Perfect ini membuat satu lagi pendedahan memeranjatkan. Dalam satu temu bual untuk episod terbaru Sky’s Straight Talking, Rebel berkongsi pernah diacukan senjata dan diculik beberapa tahun lalu ketika bercuti di Afrika.
“Ia merupakan sebuah perkampungan di Mozambique. Kami sedang menaiki trak lembu dan sebuah trak datang menghampiri. Mereka minta kami berhenti dan mengeluarkan senjata sambil berkata, ‘Turun dari trak sekarang.’”
Dia bersama kumpulannya kemudian dibawa ke sebuah rumah dan ditahan semalaman. Satu pengalaman yang menakutkan, namun jelasnya dia berjaya menangani situasi tersebut dengan tenang. Malah, dia turut mencadangkan strategi untuk memastikan keselamatan semua orang.
“Mereka menyuruh kami duduk dan saya meminta semua orang memegang lengan orang sebelah. Saya takut mungkin salah seorang daripada kami akan diapa-apakan malam itu,” tambahnya.
Mujur tiada apa-apa yang berlaku dan mereka dilepaskan keesokan hari. Pelakon berusia 40 tahun masih mengingati momen itu dengan jelas.
“Mereka datang dan mengatakan, ‘trak sudah siap. Kalian boleh pergi.’ Kami dengan pantas menaiki trak dan beberapa jam kemudian, kami sudah pun merentasi sempadan Afrika Selatan.”
Dia bersyukur kerana selamat, namun masih tertanya-tanya apakah motif mereka semua diculik. “Saya rasa mungkin mereka menyeludup barangan haram di bawah trak kami,” ujarnya. Itu menjelaskan mengapa penculik mengatakan ‘trak sudah siap’.
Dan nampaknya kejadian ngeri ini tidak menghalang Rebel untuk terus mengeliling dunia, kerana kisah ini dikongsi sewaktu dia mengembara ke hutan belantara di Mexico selama tiga hari untuk rancangan UK TV.
Foto: Dia Dipasupil/Getty Images
Baca: Sakit Mata Akibat Ujian Calit, Pakar Sangkal Dakwaan Hilary Duff