Tidak mahu bercakap secara terbuka tentang hubungan peribadi dengan tunangnya, Remy Ishak akui masih lagi baik dalam ikatan pertunangannya.
Aktor drama Pesan Dari Tuhan ini mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan, Ezza Yusof pada bulan Mei lalu. Jelasnya, hubungannya bersama Ezza masih dalam keadaan baik meskipun tidak dapat dilihat di laman sosial.
“Saya masih lagi tunangan orang. Hubungan saya dengan tunang masih dalam keadaan yang baik. Hubungan kami belum sampai ke tahap yang lebih tinggi, jadi saya tidak selesa untuk bercakap soal ini. Risau kalau tidak jadi, tak seronok juga,” ujarnya ketika ditemui di sidang media Anugerah Skrin 2017.
Tambahnya lagi, “Saya pun masih lagi dalam proses mengenali dirinya dengan lebih dekat, jadi ada cabarannya yang tersendiri.”
Pabila ditanya kepadanya mengenai perkembangan terkini tentang persiapan perkahwinan, Remy menjelaskan yang mana dia masih belum terbuka untuk berkongsi segala perihal kepada umum kerana takut akan pelbagai perkara dan banyak rintangan yang bakal ditempuhnya.
“Kami belum ada tarikh untuk berkahwin. Tahun depan atau bukan, itu pun saya belum pasti. Lihatlah nanti. Jika setahun kami masih belum rasa okey, saya akan panjangkan lagi tempohnya. Setakat ini pun kami masih belum melakukan sebarang persiapan lagi. Kalau ada rezeki, saya pasti akan kongsikan berita gembira itu dengan semua orang tetapi bukan sekarang kerana banyak rintangannya. Saya juga kalau boleh tidak mahu terlalu mendedahkan perihal pasangan saya. Biar saya seorang yang menjadi selebriti,” jelasnya.
Ketika malam Anugerah Skrin 2017, Remy berjaya membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama menerusi drama Pesan Dari Tuhan arahan Erma Fatima.
Remy mengaku yang dia tidak menyangka lakonannya dapat menewaskan empat calon lain yang dirasakan cukup berpengalaman.
Aktor popular ini turut menyatakan yang mana ia berkemungkinan disebabkan watak antagonis yang dipegangnya dalam drama tersebut berjaya menarik perhatian juri dan orang ramai, meskipun Remy tidak lagi bersedia pada hakikatnya dalam membawakan karakter itu dan lebih selesa dengan watak romantis.
“Apabila Erma meminta saya menjayakan watak antagonis, saya marah. Jadi, kemarahan saya dalam drama ini sebenarnya adalah untuk Erma,” ujar Remy sambil tertawa.