Chris Martin Berkongsi Keterujaan & Permohonan Maaf
Menerusi temu bual bersama radio Hitz baru-baru ini, Chris Martin meluahkan rasa teruja untuk beraksi buat julung kalinya di Malaysia. “Saya amat teruja. Kami bertuah kerana antara matlamat kami adalah untuk berkunjung ke negara yang belum pernah dilawati. Kuala Lumpur adalah destinasi yang kami ingin kunjungi sejak sekian lama. Kami gembira kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki ke sana.”
Vokalis Coldplay itu turut menyanjungi keperibadian rakyat Malaysia yang disifatkannya sebagai mesra dan peramah. Dalam masa sama, dia memohon maaf sekiranya kedatangan mereka menyinggung perasaan segelintir pihak.
“Setiap kali bertemu rakyat Malaysia, saya dapat rasakan kasih sayang dan kemesraan mereka. Semua orang dialu-alukan datang ke konsert kami. Kami sayang semua orang dan semua jenis agama. Sesiapa yang tidak gembira dengan kedatangan kami, saya minta maaf dan akan tetap menyayangi anda.”
Pengumuman kedatangan Coldplay ke negara ini dua minggu lalu lalu turut mencuri perhatian Perdana Menteri ke-10. Menerusi satu perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalukan kedatangan mereka dengan menitipkan ucapan ‘selamat datang’ berserta mesej istimewa.
“Coldplay, selamat datang ke Malaysia. Ayuh kita bekerjasama, melindungi alam sekitar dan menjaga keselamatan dunia. Terima kasih,” kata beliau dalam video yang dimuat naik berserta kapsyen, “Jumpa anda pada bulan November!”
Baca: Jin BTS Terima Pemberian Istimewa Daripada Vokalis Coldplay, Chris Martin