LONTARKANLAH SEGALA TELAHAN ATAU SPEKULASI TENTANG KISAH PERIBADINYA, WANITA BERUSIA 36 TAHUN INI KENTAL MENEPIS DURI KONTROVERSI
Mula terjun ke gelanggang lakonan menerusi Dulang Wan Chu, Rita terus menjadi pilihan pengarah dan penerbit drama. Barisan produk lakonannya cukup panjang, tidak mungkin bisa ditulis di sini, dan mungkin Rita sendiri tidak dapat mengingatnya satu persatu. Namun dalam banyak-banyak lakonannya itu, yang terkesan di hati adalah wataknya di dalam telefilem Tiupan Sangkakala. Bukan sahaja kerana watak yang digalasnya cukup berbeza, malah dia diberi peluang bergandingan dengan aktor pujaannya sendiri, Eman Manan.
Semua sedia maklum tentang krisis rumah tangga yang dialami Rita dan suaminya Aidil Zafuan. Sejak awal berkahwin hingga dikurniakan dua cahaya mata (Airit Rayyan Rizqin, 3 tahun dan Airit Qaqa Arjuna, 1 tahun) ada sahaja angin yang membawa khabar yang tidak enak didengar. Dan sehingga artikel ini ditulis hubungan Rita dan Aidil bagai meniti di atas tali, andai tersilap langkah tersadung jatuh, andai bisa sampai ke hujung, laluannya belum tentu mudah.
Jelas Rita dia tidak mahu terlalu memikirkan dugaan rumah tangga yang dihadapinya. Dia perlu mencari dan kumpulkan kekuatan untuk mengharungi hidup demi anak-anak. Jelas Rita dia reda dengan ketentuan Tuhan, dan tidak sesekali dia berasakan terbeban. Pada Tuhan dia bersyukur kerana dugaan yang diberikan ini diiring sama kekuatan.
“Sebagai pelakon kita mencari kepuasan. Dan saya nikmati kepuasan itu menerusi drama, kerana pada pengamatan saya jalan ceritanya lebih menarik. Malah penonton lebih terkesan dengan drama berbanding filem.”
“Orang yang melihat tertanya-tanya, tidakkah saya berasa penat dan terbeban naik turun mahkamah. Kata mereka ‘alahai susahnya’. Tapi saya laluinya dengan tenang.”
“Saya tak berani untuk katakan apa-apa. Saya serahkan semuanya pada jodoh. Andai saya kata ingin terus bersama tetapi Tuhan tentukan jodoh tak panjang, apa yang boleh dibuat. Cuma saya pohon apa sahaja keputusan yang diputuskan nanti baik untuk semua.”