Biarpun rata-rata yang hadir ke persembahan konsert Fifth Harmony yang pertama kali dianjurkan di Malaysia ini terdiri dari anak remaja namun ternyata aura yang dikongsi oleh kumpulan artis wanita berasal dari Amerika ini ternyata ia tidak mengecewakan.
Kumpulan yang bermula dengan lima anggota sudah kehilangan seorang dari pelantunnya, Camilla Cabello namun ternyata mereka kelihatan begitu positif dengan perubahan ini terus memukau hadirin dengan persembahan yang bertenaga.
Jelajah peringkat dunia yang dinamakan 7/27 bersempena nama album kedua yang telah dilancarkan penghujung tahun lalu. Kumpulan yang tertubuh lima tahun lalu ini berjaya melakar kerjaya seni yang tidak kurang hebatnya. Jelajah ini telah bermula sekitar penghujung Jun 2016 dengan merangkumi hampir kesemua benua utama dunia.
Lima, Peru menjadi lokasi pembukaan konsert jelajah yang turut singgah di Jepun selain Kuala Lumpur dan Manila serta Singapura sebagai antara lokasi pilihan di Asia.
Malam itu dimulakan dengan penampilan berani dalam persalinan merah yang ternyata membawa tenaga persembahan yang tinggi dari empat jelitawan ini. Lantunan secara live pada keseluruhan konsert dengan lagu pembukaan That’s My Girl ternyata berjaya membina tenaga daripara peminat yang hadir ke konsert ini.
Dilahirkan melalui rancangan realiti X Factor versi Amerika ternyata kebolehan vokal mereka tidak perlu dipertikaikan ditemani gerakan tarian mengiringi persembahan berjaya meneruskan energi sepanjang konsert berlangsung. Gabungan beberapa single popular mereka menjadikan ramai penonton turut sama bergerak dan menyanyikan antaranya Miss Movin’ On dan Sledgehammer.
Untuk segmen ke dua pula dendangan lagu Brave Honest Beautiful dan I Lied dipilih untuk meredakan sebentar suasana hangat malam itu. Mereka memilih untuk duduk di pentas sambil mennyanyikankan lagu-lagu yang berentak balada ini.
Ternyata mereka begitu terharu dengan sambutan meriah yang diberikan oleh peminat dan berjanji untuk datang sekali lagi di masa akan datang. Mungkin pada skaal yang lebih besar siapa tahu.
Menutup persembahan malam itu, lagu yang menduduki carta popular tempatan dan peringkat antarabangsa dipilih untuk memastikan para penonton yang hadir puas dengan persembahan vokal dan tarian oleh Fifth Harmony. Worth it dan Work From Home merupakan penutup terbaik buat malam itu. Biarpun mereka masih muda namun usaha keras dan persembahan yang terbaik ini mewajarkan mereka untuk terus diterima di persada seni hiburan lokal dan antarabangsa semestinya.