Bakal dilancarkan 29 ogos, Sabrina Carpenter umum album baharu bertajuk Man’s Best Friend.
Pemenang Anugerah Grammy, Sabrina Carpenter telah mengumumkan album terbarunya bertajuk Man’s Best Friend, yang dijadualkan keluar pada 29 Ogos. Pengumuman tersebut dibuat pada pagi Rabu menerusi sesi Instagram Live, di mana Sabrina kelihatan sedang menyelak timbunan piring hitam klasik milik Donna Summer, ABBA dan Dolly Parton – sebelum akhirnya menunjukkan rekod miliknya sendiri.

Video teaser kemudiannya mendedahkan rekaan kulit album, yang memaparkan Sabrina berambut perang dalam posisi merangkak, manakala seorang individu berpakaian seluar slack hitam kelihatan menggenggam rambutnya – visual yang mencetuskan pelbagai reaksi dan perbincangan dalam kalangan peminat.
Single utama daripada album ini, bertajuk “Manchild”, telah dilancarkan minggu lalu. Lagu tersebut ditulis bersama rakan kolaborasi tetapnya, Jack Antonoff dan Amy Allen. Sejurus selepas pelancarannya, Manchild melonjak ke tangga No. 1 di carta Spotify U.S. dan Spotify Global, didorong oleh sambutan hangat terhadap video muzik sinematik arahan Vania Heymann dan Gal Muggia.
“Man’s Best Friend” merupakan album studio ketujuh Sabrina Carpenter dan dijadualkan untuk dilancarkan hampir genap setahun selepas kejayaan album terdahulunya yang menduduki carta teratas, Short n’ Sweet, yang dikeluarkan pada Ogos tahun lalu.
Ketiga-tiga single daripada album Short n’ Sweet — Espresso, Please Please Please, dan Taste — berjaya memasuki Billions Club di Spotify, menandakan pencapaian penstriman yang luar biasa.
Album tersebut juga mencatat jualan melebihi 10 juta unit di seluruh dunia, sekaligus melonjakkan nama Carpenter ke tahap baharu dalam industri muzik global. Short n’ Sweet turut meraih enam pencalonan Grammy, menjadikannya calon buat kali pertama dalam kerjaya muziknya.
Sabrina membawa pulang dua anugerah utama pada malam Grammy iaitu Album Vokal Pop Terbaik (Best Pop Vocal Album) dan Persembahan Solo Pop Terbaik (Best Pop Solo Performance) menerusi lagu hit Espresso.