Belum reda lagi kebimbangan pandemik Covid-19, kini muncul pula kenyataan menakutkan mengenai kesan sampingan ujian calit.
Baru-baru ini Hilary Duff dikejarkan ke bahagian kecemasan hospital kerana terkena jangkitan mata. Dia memaklumkan, ini berlaku kerana dia kerap melakukan ujian calit Covid-19 ketika bekerja untuk penggambaran filem terbaru, Younger.
Keadaan itu agak membimbangkan lebih-lebih lagi dia kini sedang hamil anak ketiga. Tulis Hilary di Insta Story, “Mata saya mula nampak pelik…dan sakit sangat.” Dia kemudian menambah, “Berkejar ke bilik kecemasan. Saya terkena jangkitan mata disebabkan ujian calit di tempat kerja…”
Ini menimbulkan tanda tanya di kalangan netizen di media sosial. Namun menurut pakar, kenyataan ini tidak masuk akal dan orang awam tidak perlu berasa risau mengenai kesan sampingan tersebut.
“Tidak jelas bagaimana ujian calit boleh menyebabkan jangkitan mata. Kemungkinan besar dia dijangkiti daripada komuniti persekitarannya,” kata Dr. Dara Kass, Penyumbang Kesihatan Yahoo Life dan Profesor Madya Klinikal Emergency Medicine.
Dr. Brian Toy, pakar mata dan pembantu profesor di USC Roski Eye Institute turut bersetuju. “Jarang sekali berlaku. Alat ujian yang digunakan untuk Covid-19 adalah steril, dan apabila digunakan oleh jururawat terlatih, ia tidak menyebabkan trauma. Jadi agak sukar mempercayai bahawa ujian boleh menyebabkan jangkitan mata.”
Mujurlah Hilary kini pulih setelah mendapatkan rawatan dan mengambil antibiotik. Menurut Dr. Kass, antibiotik biasanya diberikan jika pesakit yang mengalami konjunktivitis (atau mata merah), iaitu keradangan konjungtiva, tisu jernih yang melindungi bebola mata. Punca utama jangkitan biasanya disebabkan oleh bakteria, alergi atau jangkitan virus.
Walaupun terdapat beberapa laporan di mana individu yang menghidap Covid-19 terkena jangkitan mata, Dr. Kass berkata, tidak masuk akal jika mengatakan ia disebabkan oleh Covid-19 itu sendiri.
Ini bukan kali pertama Hilary berhadapan sendiri dengan pandemik tersebut. November tahun lalu, dia memuat naik satu hantaran di Instagram Story mengatakan bahawa dia sedang kuarantin kendiri kerana terdedah dengan coronavirus.
Foto: Dia Dipasupil/Getty Images