Teks: Anis Hanini
Lakonannya sebagai Asmawi dalam filem Tentang Bulan pada tahun 2006 berjaya memperkenalkannya sebagai antara bintang cilik yang bakal mewarnai dunia lakonan tempatan. Kini lebih matang, Aedy mempersiapkan diri untuk menonjolkan lagi bakat yang ada.
Pertemuan saya dengan Aedy Asyraf untuk penggambaran pernah dirancang beberapa bulan lepas namun tidak kesampaian kerana jadual kami bercanggah. Namanya muncul sekali lagi dalam perbincangan bulanan editorial dan saya terus menghantar pesanan ringkas untuk ‘mencuri’ Aedy beberapa jam. Dia bersetuju namun kami sekali lagi hadapi kesukaran untuk dapatkan tarikh yang bersesuaian.
Masih ingat lagi minggu yang kami ingin rakam wajahnya, studio pula penuh manakala minggu seterusnya Aedy pula bercuti di luar negara. Atas kekakang tersebut, saya pinta bantuan teman sepejabat dan penulis kecantikan, Azliany Mohd untuk meminjam slot studionya selama beberapa jam agar penggambaran bersama Aedy menjadi kenyataan. Mungkin rezeki kami pada hari tersebut, slot Azliany berakhir dua jam lebih awal, bahkan Aedy juga tiba di set setengah jam dari waktu yang dijanjikan.
“Bagaimana anda boleh mula berlakon?” soal saya sebaik sahaja kami selesai penggambaran.
“Saya berlakon sejak kecil lagi selepas mengikut ibu ke set-set penggambaran pada tahun 90-an. Pabila ada babak yang perlukan pelakon tambahan kanak-kanak, saya mula menjinakkan diri. Masih ingat lagi saya baru sahaja berusia 8 atau 9 tahun dan pada usia itu juga saya mendapat watak utama saya buat kali pertama bermula dengan drama berjudul Doa Imran yang dilakonkan bersama Vanida Imran.”
Saya anggap Aedy antara pelakon yang telah lama menapakkan namanya dalam industri lakonan tempatan. Wajahnya sering ditayang di kaca televisyen ketika saya membesar dan kini pada usia 24 tahun, dia mula mencuba nasibnya sebagai pelakon dewasa pula namun hadapi beberapa batasan terutamanya ada sesetengah pihak masih menganggapnya mentah.
“Sebelum saya menyimpan rambut panjang, ramai tidak percaya saya boleh berlakon watak dewasa kerana mereka masih memandang saya sebagai seorang budak. Saya juga tidak akan potong rambut atau misai ini agar dipandang lebih serius. Bagi saya, untuk saya menjadi pelakon dewasa berjaya, saya perlu berlakon dengan lebih baik lagi.”
“Anda katakan tadi anda telah lama berlakon namun nama anda tidak naik seperti pelakon-pelakon lain. Apa pendapat anda tentang perihal ini?” tanya saya lagi.
“Mungkin saya tidak kacak seperti Fattah Amin!” seloroh Aedy secara spontan diikuti dengan gelak yang kuat. “Saya tidak kisah semua itu. Ramai juga yang pernah bertanya kenapa nama saya tidak naik, tetapi saya tidak pernah terfikir untuk jadi popular. Bagi saya apa yang saya lakukan sekarang kerana saya gemar berlakon, saya ingin mencari rezeki yang halal dan jujur. Saya tidak kisah tentang populariti selagi ada tawaran berlakon dan orang senang bekerja dengan saya,” kata Aedy menyambung bicara kami tadi.