“Mengapa orang ramai fikir seperti demikian?” tanya Aedy kembali kepada saya.
Ujar saya kerana mungkin pada tahun 2017, orang ramai mula mengenali nama Aedy Ashraf.
“Dan nama saya pula menjadi popular kerana saya memuatnaik imej tanpa baju. Bosannya! Jika itu menjadi sebab utama orang kenal saya, saya mungkin akan padam imej-imej tersebut. Saya mahu dikenali kerana bakat bukan kerana benda-benda remeh dan viral seperti membuka baju di lama sosial. Jika saya terkenal bukan kerana lakonan, ini bermakna saya tidak pandai berlakon. Dan saya perlu usaha dengan lebih lagi agar orang kenal saya hanya melalui lakonan. Imej-imej tersebut dimuatnaik pun kerana saya banyak lakukan senaman di gim. Tidak pernah terfikir untuk ia menjadi viral,” jelas Aedy.
“Pernahkan anda Google diri sendiri dan apa yang anda jumpa?”, tanya saya menyambung perbualan kami sebentar tadi.
Aedy tergelak sipu-sipu, “Pernah! Dan saya tidak pernah terkejut dengan hasil pencarian kerana saya sedar itu diri saya yang sebenar. Malah ibu saya pun pernah Google tentang saya. Saya masih muda dan saya tinggal di Kuala Lumpur. Saya juga ingin cuba have fun seperti orang lain tetapi kalau boleh saya mahu orang ramai elak campur aduk kehidupan peribadi saya dengan karier. Dalam industri ini, saya seorang pelakon. That’s it. Jika dalam kehidupan peribadi saya, saya ingin menjadi seorang penyamun mahupun penyagak, just let me be. Selagi apa yang saya lakukan tidak menggangu kerjaya saya, saya tidak kisah apa orang tulis atau cakap tentang saya.”
Dalam masa 5 tahun, Aedy menanam cita-cita untuk menjadi seorang pengarah namun dia masih tidak bersedia untuk mengarah buat masa sekarang.
“Saya telah bekerja dalam industri ini selama 16 tahun namun saya masih lagi mencari ilmu kerana pabila saya mengarah suatu hari nanti, saya mahu hasilnya extraordinary,” jawabnya yang juga gemar lakonan Heath Ledger dan Tom Hardy.
Saya tanya kepada Aedy adakah ini bermakna dia akan berhenti berlakon suatu hari nanti?
Dengan tenang dia menjawab, “tidak. Saya tidak akan berhenti berlakon dan akan terus berlakon selagi mana dan selama mana saya diperlukan. Saya berlakon sejak kecil dan pernah hadapi situasi pabila tidak mempunyai tawaran berlakon. Saya pernah cuba untuk lakukan kerjaya lain namun jiwa saya di sini. Saya lihat sekarang pelakon-pelakon baru berani untuk datang lambat ke set penggambaran atau jika lambat sedikit di set, mereka akan mengamuk dan terus tinggalkan set penggambaran. Bagi saya situasi ini amat pelik dan saya sentiasa meragui perbuatan ini. Saya pernah tunggu di set lebih dari 12 jam namun tidak pernah mengambil keputusan untuk tinggalkan set. Entah, mungkin ini passion saya.”