Oleh: Mujahid Saddam
Nama Tasha Shilla kian dihimpit kontroversi kebelakangan ini. Dari kisah cinta hingga ke cara berpakaian, semuanya menjadi bahan bualan. EH! sempat menemu bual aktres ini bagi menjawab segala persoalan yang meniti di bibir peminat hiburan.
Tasha semakin kurus dan seksi, adakah putus cinta jadi punca utama?
Tidak. Memang saya putus cinta, tetapi kekecewaan itu menjadi kekuatan untuk saya menjadi diri saya sendiri.
Rata-rata komen peminat di laman sosial mengatakan Tasha semakin seksi, tidak takut diboikot peminat?
Tasha mahu peminat di luar sana menerima diri saya seadanya. Perihal seksi, ianya adalah subjektif dan terpulang pada penilaian masing-masing. Ianya mungkin seksi di mata mereka tetapi tidak di mata saya. Pandangan orang boleh diambil tetapi tidak semestinya boleh diterima. Sekiranya kita yakin terhadap diri sendiri, ianya tidak mendatangkan masalah.
Tidak takut jejaskan periuk nasi?
Tidak perlu takut dengan orang hanya kerana menjadi diri sendiri.
Gambar Tasha di Instagram turut dikecam. Apa yang Tasha rasa salah di mata peminat?
Ianya bukanlah kali pertama saya dikecam, malahan gambar Tasha menghadiri majlis-majlis sudah lapan kali di-removed oleh Instagram. Semuanya hasil aduan mereka di luar sana terhadap pihak Instagram. Tasha merasa amat kecewa dengan tindakan mereka. Pada saya sekiranya mereka tidak suka, tidak perlu untuk minat atau follow di Instagram kerana Tasha hanya perlukan orang yang jujur untuk menerima diri Tasha seadanya.
Tidak rasa terkilan dengan kata-kata mereka yang kadangkala agak menyakitkan dan sinis?
Tidak. Saya tidak kisah langsung malah merasa kasihan kepada mereka kerana tidak mahu menerima suatu kebenaran. Sekiranya mereka jujur mahu memberi pandangan atau nasihat untuk merubah Tasha, lebih elok jika ianya dilakukan secara peribadi dengan berjumpa saya sendiri. Bukan di alam maya untuk menunjukkan kebaikan diri.
Jadi Tasha tidak kisah untuk terus berimej seksi?
Manusia sentiasa ingin perbaiki diri dan kita tidak tahu apa yang akan terjadi akan datang.
Hubungan dengan Hans pula bagaimana?
Tasha bukan seorang pendendam dan sentiasa memaafkan semua. Jikalau sebelum ini kami menjadi pasangan kekasih, sekarang kami merupakan sahabat yang saling menyokong antara satu sama lain. Tiada khilaf antara kami dan tidak perlu berdendam.
Seberapa jauh kebenaran tentang Kaka Azraff merupakan punca keretakan hubungan Tasha dan Hans?
Tasha tidak mahu kaitkan perkara itu dengan orang sekeliling, oleh itu no comment.
Berbalik pada lakonan, perkembangan terbaru?
Tasha sedang dalam proses pengambaran drama arahan Michael Ang untuk siaran Astro Ria. Juga bakal muncul dalam Karoot Komedia Ramadan nanti.
Rahsia badan semakin kurus?
Sememangnya menjadi idaman Tasha untuk mendapatkan badan kurus sejak dulu lagi tetapi baru sekarang berpeluang untuk perbaiki diri dari segi dalaman dan luaran. Semuanya untuk kebaikan diri Tasha dan juga kerjaya. Tasha juga bakal mengeluarkan produk minuman kesihatan yang saya sendiri amalkan.