“Sepi, menghukumku diri kembali untuk mengalirkan air mata…” bait-bait awal lagu terbaru Nabila Razali yang dijudulkan sebagai Peluang Kedua. Ternyata melodi dan liriknya bersatu sempurna hingga membuatkan yang mendengar mahu berulang menikmatinya. Peluang Kedua ternyata membawa tuah kepadanya bila mana dalam masa lima hari sahaja, video lirik lagu ini mencatatkan 2 juta tontonan di YouTube. Lebih manis bila mana video lirik ini dilancarkan di akaun YouTube Nabila Razali sendiri- Nabila Razali Entertainment.
Ikuti temubual EH! bersama wanita yang mesra dipanggil Bella ini. Sebelum itu syabas buat Bella dan team atas kejayaan ini, sekaligus menangkis dia penyanyi one hit wonder.
Mengapa akhirnya memilih genre balada untuk single terbaru ini?
Sebelum ini Bella pernah punya lagu ballad ‘Katakan Saja’ tapi ‘Peluang Kedua’ nampaknya lebih meninggalkan impak. Jika dilihat singles Bella sebelum ini semuanya berentak happy pop jadi Bella membuat keputusan untuk tampilkan kelainan menerusi single terbaru ini, dan Bella mahu keluar dari zon selesa Bella sendiri. Orang mungkin jangka Bella akan keluar dengan lagu rancak, tapi sebaliknya. Bella juga mahu cabar kemampuan vokal Bella. Pertama kali mendengarkan demo lagu ini Bella dapat rasakan orang akan suka tapi tak jangka sebesar ini penerimaannya. Bagi Bella ia sebuah lagu yang ‘cantik’.
Cemburu, Pematah Hati, Vroom Vroom dan yang terbaru Peluang Kedua juga hasil ciptaan Hael Husaini. Apa yang membuatkan Bella memilih untuk terus bekerjasama dengan Hael?
Bella tak tahu mengapa tapi Hael ‘something else’. Dia sangat berbakat dalam apa saja yang dia buat, menulis lagu, menyanyi, dia sangat bagus. Dia mencipta masterpiece. Kami sudah mengenali antara satu sama lain agak lama sejak di Akademi Fantasia lagi, jadi dia faham saya, dia tahu vokal saya. Bella tahu bila bekerja dengan Hael, Bella boleh tahu hasilnya macam mana. Lagi satu, Bella sendiri cukup selesa bekerja dengan Hael.
Mengapa memilih untuk menjadikan Peluang Kedua sebagai lagu tema drama terlebih dahulu sebelum Bella secara rasminya memuat naik lagu tersebut di YouTube?
Jika ikut perancangan kita memang nak keluarkan lagu ini selepas drama ‘Seindah 7 Warna Pelangi’ berakhir. Kami merancang untuk penggambaran video muzik pada 20 Mac, tapi memandangkan PKP dilaksanakan pada 18 Mac, jadi semuanya tertangguh. Dan bila PKPK dilanjutkan jadi Bella rasa lebih elok Bella keluarkan video lirik buat masa ini.
Mengapa baru sekarang melancarkan akaun YouTube sendiri?
Bella dah lama pasang niat nak ada akaun YouTube sendiri cuma sekarang baru dapat dilaksanakan. Bila kita ada akaun sendiri kita lebih teruja dan kita bersemangat nak buat macam-macam. Kita boleh lancarkan lagu di platform sendiri. Sebelum ini Bella gunakan saluran syarikat rakaman. Bella seronok bergelar independent artist, kita lebih bersemangat dan mahukan hasil yang bagus maka kita akan kerja lebih kuat. Alhamdulillah maklum balas setakat ini sangat menggembirakan.
Jumlah tontonan Peluang Kedua mencecah angka 1 juta dalam masa dua hari, adakah ini yang memang Bella jangkakan?
Sejujurnya Bella memang tak jangka ia akan sebesar ini, Bella sangat gembira. Hampir 95 peratus yang mendengar memberi respon positif. And of course ini bukan kerja saya seorang, kredit harus diberikan kepada team Bella juga termasuk Hael sebagai pencipta lagu ini.
Boleh kongsikan pengalaman menarik sepanjang penghasilan Peluang Kedua?
Sewaktu Bella call beritahu untuk rakam lagu ini, Bella di Jakarta. Sebaik pulang dari sana Bella terus ke studio. Pertama kali dengan demo lagu ini dari Hael, Bella menangis. Pada waktu itu juga Bella tahu lagu ini akan jadi single Bella seterusnya. Bella nak mereka yang mendengar menangis bersama Bella, rata-ratanya boleh terkait dengan lagu ini jika diperhatikan daripada komen-komen di YouTube.
Jom tonton video lirik Peluang Kedua. Sediakan tisu okey!