Di sebalik gaya menarik dan kandungan kreatif Sabrina, bekas gimnas kebangsaan serta wakil Malaysia dalam luncur ais berirama ini kini membina kerjaya sebagai pencipta kandungan sepenuh masa dan penggaya fesyen, memadukan kreativiti dengan strategi dalam setiap langkahnya. Ikuti temu bual eksklusif EH! bersama Sabrina, gadis muda penuh disiplin dan berani melangkaui batas.
Di sebalik pesona gaya dan kandungan kreatif yang dikongsikan, Sabrina ialah seorang personaliti yang membawa disiplin, ketabahan dan keberanian dalam setiap langkahnya. Dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, bekas gimnas kebangsaan serta wakil Malaysia dalam sukan luncur ais berirama ini kini menemui titik persilangan antara dunia strategi dan kreativiti. Dari menimba ilmu dalam bidang Psikologi sehinggalah melanjutkan pengajian Fashion Styling di Fashion Institute of Technology, perjalanan hidupnya membentuk seorang pencipta kandungan, penggaya fesyen dan tenaga di sebalik agensi media sosial yang sentiasa berkarya dengan penuh niat serta tujuan.
Apa yang Sabrina paling suka tentang menjadi seorang pencipta kandungan?
Apa yang saya paling suka tentang menjadi seorang pencipta kandungan ialah kuasa untuk memiliki naratif saya sendiri dan mengekspresikan kebenaran diri tanpa kompromi. Bagi saya, ia bukan sekadar tentang estetika, sebaliknya lebih kepada niat. Setiap kandungan mencerminkan siapa diri saya, nilai yang saya pegang dan tenaga yang saya mahu sebarkan kepada dunia. Saya dapat menggabungkan kreativiti dengan strategi, seni dengan pengaruh, serta ekspresi diri dengan tujuan.
Pada tahap yang lebih mendalam, ia juga menjadi satu perjalanan penemuan diri. Belajar mempercayai suara hati sendiri, berkarya dari tempat yang autentik berbanding mencari pengesahan, dan berhubung dengan orang yang benar-benar selaras dengan tenaga saya. Ada sesuatu yang sangat membebaskan dan spiritual tentang menjadikan kisah hidup kita inspirasi untuk orang lain — sambil tetap berpijak pada kebenaran diri.
Apakah cabaran utama yang Sabrina hadapi sebagai pencipta kandungan?
Salah satu cabaran terbesar ialah berdepan dengan bayaran lewat, yang malangnya agak biasa dalam industri ini. Ia memang mengecewakan, tetapi dalam masa yang sama mengajar saya untuk lebih tegas menghargai nilai diri dan menetapkan batas. Creative block juga satu cabaran. Ada masanya idea langsung tidak datang, dan saya belajar untuk duduk dengan rasa itu, memerhati dan biarkan inspirasi datang dengan caranya sendiri.
Selain itu, industri ini sentiasa berubah. Tren bertukar, algoritma berkembang dan jangkaan semakin tinggi. Ia boleh jadi sangat menekan, tetapi saya selalu ingatkan diri untuk kekal setia dengan visi, fokus pada apa yang benar-benar bermakna, dan hasilkan karya yang mencerminkan siapa saya — bukan semata-mata ikut apa yang sementara popular atau trending.
Kongsi 3 aplikasi kegemaran di telefon.
Pinterest, Spotify, TikTok.
Siapa pencipta kandungan kegemaran Sabrina dan kenapa?
Soalan ini memang saya suka! Pencipta kandungan kegemaran saya ialah Kate Bartlett. Dia salah satu sebab saya memilih bidang ini. Saya sudah mengenalinya sejak sebelum dia mendapat pengiktirafan besar, dan melihat perjalanannya sangat memberi inspirasi.
Kate mula menceburi bidang fesyen dengan menulis blog ketika di sekolah menengah, kemudian meneruskan minatnya dengan belajar di Fashion Institute of Technology. Usahanya membuahkan hasil apabila dia berpindah ke New York City, sebuah tempat yang juga saya impikan untuk mendalami dunia fesyen. Di sana, dia berkembang maju dan berkolaborasi dengan jenama mewah terkenal seperti Chanel, Louis Vuitton dan Michael Kors.
Keupayaannya menggabungkan fesyen mewah dengan penceritaan autentik sangat dekat dengan saya. Kisah kejayaan Kate mengingatkan bahawa dengan minat, keaslian dan ketekunan, impian sememangnya boleh jadi kenyataan.
Bagaimana Sabrina kekal berinspirasi?
Bagi saya, inspirasi datang daripada banyak memerhati. Orang yang saya temui, tempat yang saya lalui, dan butiran kecil yang sering terlepas pandang. Fesyen, seni dan budaya sentiasa mencuri perhatian saya, tetapi begitu juga dengan pengalaman peribadi serta kisah orang lain.
Saya cuba beri perhatian pada apa yang membuat saya teruja, apa yang menyentuh hati, dan apa yang terasa benar. Inspirasi, bagi saya adalah tentang memerhati, merenung dan menjadikan pemerhatian itu sesuatu yang benar-benar mengekspresikan siapa saya.
Mana lebih susah, mencari muzik yang sesuai atau menulis kapsyen?
Oh, sudah tentu menulis kapsyen. Di situlah betul-betul menguji kesabaran… dan kewarasan saya haha.
Apa yang Sabrina rindukan tentang zaman sekolah atau universiti?
Mungkin kedengaran pelik, tapi sebenarnya… saya rindu belajar. Saya rindu rasa tenggelam sepenuhnya dalam sesuatu, kepuasan kecil bila akhirnya faham sesuatu konsep, malah rasa frustrasi semasa proses belajar.
Saya tak pernah sangka akan cakap begini, tapi saya juga rindu buku teks dan longgokan nota! Itu dunia kecil penemuan saya, dan saya tak sedar betapa saya merinduinya sehinggalah saya melangkah ke dunia sebenar yang bergerak begitu pantas.
Adakah Sabrina masih berhubung dengan kawan-kawan sekolah?
Ya, dengan sebahagian daripada mereka. Saya sangat menghargai orang yang saya temui dalam setiap fasa hidup, dan saya belajar bahawa persahabatan juga berevolusi seperti kita. Kalau seseorang memang ditakdirkan kekal, mereka akan kekal. Kalau tidak, itu juga tidak mengapa.
Kita semua membesar, laluan hidup berubah, dan kadang-kadang hubungan itu terlerai dengan sendirinya. Tapi saya juga percaya, kalau memang ditakdirkan bertemu semula, kita akan bertemu — dan bila itu berlaku, nilainya tetap terasa sama bermakna seperti kali pertama.
Pengarah Kreatif & Konsep: Khairul Abidin | Fotografi: Edmund |Penata Gaya: Erdina | Penerbit Kandungan Digital: Farah Ain & Erdina | Solekan: Sahir Sabri| Dandanan: VV Chan
Baca: