Saya mengetahui tentang Datuk Rizalman Ibrahim sejak di bangku sekolah lagi. Waktu itu saya cukup minat dengan Ziana Zain, dan Rizalman lah orang yang selalu mereka baju yang cantik-cantik untuk ratu pop itu. Malah baju nikah dan persandingan Ziana Zain juga dari air tangan pereka ternama ini. Dan saya menjadi rapat dengan Rizalman sejak saya mula bekerja di EH!, kebetulan kawan baik saya, Faizul bekerja dengannya. Sejak itu saya boleh kira hubungan saya dengan Rizalman cukup rapat, malah Rizalman jugalah orang pertama yang membawa saya berjalan-jalan menghirup angin di Paris dan London. Saya melihat Rizalman sebagai orang yang cukup bertuah, dia bagaikan dianugerahkan apa saja yang manusia lain mahu; otak yang genius, kreativiti, kemahsyuran, rezeki yang sangat murah dan aturan hidup yang saya kira cukup cantik tersusun.
Datuk seorang yang sangat kreatif dan bijak menggunakan media sosial untuk memasarkan produk Datuk. Dari mana datang idea?
Saya mengumpul idea dari persekitaran, dan adakalanya saya cuba kaitkan dengan isu semasa agar semua orang boleh relate dengan apa yang saya sampaikan. Humor itu perlu ada. Berdasar komen yang pengikut saya tulis, “you made my day” sebagai contohnya menunjukkan komuniti kita hari ini hidup dalam tekanan. Jadi bahan jenaka ringan seperti ini memadai untuk menjadi bahan tawa mereka.
Orang lain pun ada buat corak pemasaran yang sama, namun ada yang menjengkelkan. Bagaimana Datuk memastikan apa yang you post tidak melebihi batas?
Kita mesti letakkan satu kelas dalam diri kita. Kelas itulah batasnya. Apa-apa yang kita buat perlu dilakukan dengan bercita rasa dan ada kelas. Usah sampai seperti memaksa orang dan tampak murah. Be classy, namun dalam masa yang sama masih mesra audiens. Dengan bantuan pekerja-pekerja muda saya, saya belajar. Lihat Karl Lagerfeld, tidaklah selalu dia memuat naik gambar di Instagram, tapi dia membuka ruang untuk dia belajar dan menerima inovasi baru. Saya juga mahu begitu, perlu dengar lagu-lagu Rihanna misalnya supaya dunia saya bergerak seiring dengan orang lain. Hari ini serba-serbi cepat.
Dalam satu temubual dengan sebuah portal baru-baru ini, Rizalman ada menyebut “Selagi saya masih hidup jangan berani keluarkan jenama baju sendiri”. Kata-kata itu jika menurut portal tersebut ditujukan kepada selebriti Malaysia. Apa komen Datuk?
Saya sebenarnya menjawabnya secara berseloroh, jika orang mengenali saya memang tahu saya berjenaka. Tak sangka pula ia diambil sebagai satu kenyataan serius. Tapi saya tak menyesal keluarkan statement itu. Saya tak menuduh semua hasil rekaan selebriti tidak berkualiti, ada sebahagiannya not bad. Saya melantik diri saya sendiri sebagai menteri fesyen, atau senang cakap saya ni macam DBKL. Kalau ada orang nak bina bangunan ke, nak tambah rumah satu tingkat lagi ke, nak buat taman baru ke, kena minta approval. Saya tak mahu orang merosakkan industri fesyen yang saya dan orang-orang lama dah bina sejak dulu lagi. Saya mahu orang lihat pereka fesyen ini sebagai satu profesion yang profesional. Macam peguam dan doktor, mana boleh orang senang-senang nak jadi. Kena belajar dan ada ilmu. Macam itu juga bidang fesyen. Saya tak mahu orang ‘memperkosa’ industri ini. Buat baju biarlah bercita rasa, usahlah menambah peratusan mangsa fesyen kat negara kita ni.
Bagaimana pula dengan perancang perkahwinan? Hari ini semakin ramai orang yang mengusahakan perkhidmatan ini?
Saya faham dalam paras kehidupan kita di Malaysia ada kelas-kelas tertentu. Ada yang lower hinggalah ke upper class income. Perniagaan saya audiensnya kelompok sederhana dan atasan. Jadi perlu ada mereka yang menyediakan khidmat untuk lower income community. Tapi tak kisahlah kelompok mana pun pelanggannya, etikanya tetap sama. Usahlah bajet murah hasil kerja untuk pelanggan pun murah. Perlu ada caranya untuk memuaskan hati pelanggan. Pengantin pula usahlah bajet rendah minta yang bukan-bukan.
Maksud Datuk tentang etika dalam hal ini?
Kita mesti deliver kerja kita tepat pada masanya dan seperti yang kita janjikan. Biarlah senonoh hasil kerja kita tu. Lagi satu kita kena ikhlas. Buatlah apa-apa kerja dengan ikhlas itulah yang buat kerja kita jadi cantik.
Bagaimana datuk memastikan hasil kerja Datuk lebih baik berbanding orang lain?
Saya tidak pernah cuba meletakkan hasil kerja orang lain sebagai satu perkara yang harus saya tandingi. Saya berlumba dengan diri saya sendiri. Dan bila kita hendak buat lebih baik berbanding hasil kerja kita sebelum ini tidak semestinya bajetnya juga perlu lebih. Tak semestinya dulu kita tempah bunga dua lori, untuk pelanggan akan datang kita kena tempah tiga lori pula. Mungkin kita buat pula 1000 orang main kompang, jemput orkestra ke, you know benda-benda baru yang tak pernah dibuat orang. Kita kena kreatif. Dan jika bajetnya lebih itu lebih bagus sebab kerja-kerja saya berkait rapat dengan material jadi perlu ada bajet tertentu.
Saya tak tahu sama ada Datuk sedar atau tak, tapi hakikatnya ramai yang takut bertemu Datuk. Rata-rata orang yang rapat dengan saya bercakap benda yang sama, mereka fikir Datuk garang, dan memang pun Datuk garang.
Mungkin kerana gelaran yang orang berikan seperti ‘King of Fashion’ atau ‘Bapa Fesyen’ membuatkan orang takut. Gelaran begini menunjukkan seperti saya ni tahu banyak benda. Dan true enough sememangnya saya harus ditakuti kerana saya memang seorang yang transparent, cakap lepas, terlalu berterus terang, ada yang mengatakan saya bersikap diva dan saya sendiri makan lebih banyak garam dalam industri ini. Saya tahu banyak benda dalam dunia kreatif dan kelebihan ini membuatkan saya seperti makhluk asing. Kita kan takut kalau jumpa makhluk asing, mana tahu ada laser keluar dari mata dia (ketawa).. Dan sebab itulah saya tunjukkan sisi lain saya di media sosial. Saya mahu seimbangkan personaliti saya. Saya sebenarnya boleh didekati cuma mungkin waktunya perlulah sesuai. Orang mungkin berani nak bertemu saya tapi takut timing nya yang salah.
Kenapa Datuk tak suka keluar? Pilihan sendiri atau menjaga ekslusiviti?
All of them. Saya memang tak suka keluar malam. Sejak kecil my parents memang momokkan saya dan adik-beradik lain dengan kepercayaan kalau keluar rumah selepas Isya’ tu syaitan, tak balik rumah sebelum Maghrib tu syaitan. Tak tutup pintu dan tingkap waktu Maghrib tu syaitan. Saya dibesarkan dengan cara konvensional dan saya bersyukur dibesarkan dengan cara itu. Bila kita tidur awal, we will have better morning, tidur cukup dan kita boleh berfungsi dengan baik keseokan hari. Lagi satu orang cakap bila you boleh dilihat di mana-mana, you bukan bintang, bintang sepatutnya hanya muncul di langit. I’m a star.
Jadi pukul berapa Datuk tidur?
Selalunya bila sampai ke rumah saya terus mandi dan solat. Pakai baju yang selesa dan berehat-rehat di atas katil. I love my bed, sambil ditemani lilin dan muzik. Saya akan browse Instagram, menonton dokumentari di Netflix, membaca atau bermain dengan anak saya. Saya tak suka membuang masa. Biasanya jam 10 atau 11 malam saya sudah tidur.
Apa kurangnya pereka hari ini?
Mereka fikir kerja mereka hanya mereka. Sebagai pereka baru mereka kena kayakan diri mereka dengan bermacam-macam ilmu, kena tahu teknologi, menguruskan perniagaan juga ekonomi. Baik pereka luar atau lokal kita melalui proses yang sama. Semua bermula dari bawah. Saya bermula dari menjahit di dalam bilik, kemudian menumpang di rumah kakak sebelum memiliki butik kecil dan membuka butik besar, kemudian jatuh, kemudian bangkit semula. Semua orang melalui proses yang sama, kita tak boleh lari dari process of designer development. Lagi satu pesan saya, bila baru bermula jangan bandingkan diri kita dengan label yang lebih besar.
Datuk pernah jatuh, apa puncanya?
Dunia fesyen itu mesmerizing! I was too ambitious. Fame datang terlalu pantas, dan ketika itu kita tidak ramai designer. Journey saya singkat sebelum kemahsyuran menjengah, saya pula muda ketika itu, kemahsyuran tidak datang dengan kematangan. Saya punya banyak agenda dan saya fikir saya boleh menguruskannya, saya tak melihat dari sisi ekonomi. Hasil kerja saya bagus, koleksi Mega Mendung misalnya mencetus fenomena, namun tidak disokong dengan buying power. I always ke depan mendahului orang lain, namun situasi tidak menyebelahi. Saya percaya andai kata ketika itu teknologinya seperti hari ini, adanya media sosial misalnya, saya percaya saya koleksi itu akan berjaya. Hutang begitu banyak. Namun Alhamdulillah, saya bangkit dan tidak putus asa. Saya tak pernah menyesal, seperti saya kata tadi, I was advance in everything.
Hidup bagai roda, ada masa kita di atas ada waktunya kita di bawah. Selepas menikmati kejayaan dan kemahsyuran hari ini, you bersedia untuk sebarang kegagalan?
No! Bila kita bersedia untuk gagal maknanya kita membuka jalan untuk kegagalan datang kepada kita. Seperti perang, kalau nak menang kita kena mengatur strategi. Saya menjadi juri untuk GEN F, misi dan tugas saya ialah mendidik pereka baru. Tapi dalam masa yang sama saya anggap ia satu kelebihan dan ruang untuk saya mengenali genetik atau DNA pereka baru. Apa misi juga strategi mereka. Jadi dari situ saya melihat corak pemikiran generasi baru, and I will kill them before they bloom (terkekeh ketawa). Saya ada sisi angel dan devil saya sendiri. Dalam hidup kita kena ada devil side sikit. Waktu orang sedang sibuk buat fashion show, saya pula awal-awal sudah sibuk upload gambar baju saya di Instagram supaya orang simpan duit dan beli baju saya. If you wan to do it, do it nicely. Janganlah ada niat jahat tapi kerja you tak bagus. Dan saya sedar bila kita dah berjaya, kesilapan yang sedikit sudah boleh menggoyahkan, jadi strategi saya ialah bina kubu sekebal mungkin dengan memberi yang terbaik kepada pembeli supaya jenama Rizalman terus dilihat sebagai satu jenama yang kukuh.
Orang selalu suruh saya tanyakan pada Datuk, apa rahsia kulit nampak muda? Kulit cantik, sampaikan kaki pun diperhatikan orang?
Honestly saya takut tua, tapi saya bersyukur saya age gracefully. Saya seronok menjadi Rizalman, living in this world lately, not my past kerana dulu saya tak faham mengapa saya dilahirkan dengan sifat begini. Saya rasa tak normal. Mantra saya berubah bila saya sudah terima kejadian saya sepenuhnya, hari ini saya rasa orang lain yang tak normal, bukan saya. Jika ditanyakan tentang rutin cantik, saya tak ada jawapan spesifik untuk itu. Yang saya buat hanyalah mencantikkan gigi saya, kerana saya rasa gigi itu berkait rapat dengan kebersihan. Saya ni banyak bercakap, selalu muncul di kaca TV, I just want my face look fascinated. Kulit saya semula jadinya memang begini, saya hanya memakai pencuci muka dan pelembap pabila umur dah melepasi 30 sebab pada waktu itu kulit kita dah tak boleh buat rutin cycle nya sendiri. Saya juga selalu membuat pedicure dan manicure kerana I was blessed dengan kulit kaki kemerah-merahan and people love to see it.