Pasangan selebriti popular tempatan yang terkenal dengan gelaran Schawal sememangnya menjadi tumpuan ramai. Kali ini, Scha Alyahya berjaya membuat majlis kejutan ulang tahun kelahiran buat suaminya yang tercinta, Awal Ashaari tanpa disedari.
Awal yang bakal genap 36 tahun pada 6 Ogos nanti dikejutkan dengan sebuah majlis keraian di sebuah hotel. Bahkan, bapa kepada Lara Alana itu mengaku yang dirinya cukup terkejut kerana baginya ia terlalu awal berbanding tarikh sebenar hari kelahirannya.
Pada masa yang sama, menerusi akaun Instagramnya, Awal turut meluahkan ucapan terima kasih kepada isterinya serta teman-teman baiknya yang sudah melangsungkan majlis itu.
Akaun Instagram Awal dan Scha juga mula dibanjiri dengan ucapan sempena ulang tahun Awal yang bakal tiba tidak lama lagi. Rata-rata netizen memuji sifat romantis pasangan itu serta mendoakan kebahagiaan buat mereka sekeluarga.
EH! kongsikan gambar di sekitar majlis hari jadi Awal Ashaari.