Nama Zarif Ghazzi mungkin sedang hangat diperkatakan menerusi watak Abbas dalam Kudrat 1968: High Council, tetapi sebenarnya perjalanan lakonannya sudah bermula beberapa tahun lalu. Daripada drama keluarga, romantik komedi sehinggalah karakter yang lebih berat, ada beberapa naskhah lakonannya yang mungkin anda terlepas pandang.
Sejak kebelakangan ini, nama Zarif Ghazzi semakin kerap muncul dalam perbualan netizen. Semuanya selepas kemunculannya sebagai Abbas dalam telefilem Kudrat 1968 mencuri perhatian penonton. Malah, populariti watak tersebut turut membuatkan sisi lama Zarif sebelum bergelar pelakon kembali menjadi bualan.
Menariknya, Zharif sebenarnya bukanlah wajah yang asing sepenuhnya di internet. Sebelum namanya dikenali menerusi lakonan, beberapa pengguna media sosial mengingatinya menerusi kandungan video prank yang pernah dilakukannya. Selepas Kudrat 1968 mendapat perhatian, rakaman lama tersebut kembali tular apabila netizen mengimbau zaman mereka mula-mula mengenali Zarif
Jadi, kalau Cela dan Kudrat 1968 membuatkan anda mahu melihat lebih banyak lakonan Zarif Ghazzi, EH! senaraikan beberapa drama lain yang boleh masuk dalam watchlist anda.
1. Budak Hostel Otaknya Sewel
Antara naskhah terawal yang membuka langkah Zarif dalam dunia lakonan ialah Budak Hostel Otaknya Sewel. Drama ini membawa kisah sekumpulan pelajar asrama dengan segala kenakalan, persahabatan dan kisah cinta zaman sekolah. Menariknya, Zarif sendiri pernah berkongsi bahawa dia melalui beberapa kali uji bakat sebelum akhirnya mendapat peluang sebagai pelakon tambahan dalam produksi ini. Mungkin bukan watak besar ketika itu, tetapi inilah antara titik awal yang membawanya kepada lebih banyak peluang di layar kaca.

2. Isteri Halal
Zarif kemudian muncul dalam Isteri Halal pada 2023 menerusi watak Zahir. Drama yang diterajui Uqasha Senrose, Aidit Noh dan Nazim Othman ini sarat dengan konflik rumah tangga, pengkhianatan dan dendam yang berpusat pada kehidupan Adellia dan Zayn. Walaupun Zarif bukan teraju utama, Isteri Halal menjadi antara naskhah awal yang mula memperkenalkan wajahnya kepada penonton drama tempatan.

3. Khunsa
Menerusi Khunsa, Zarif diberikan watak Naem dalam sebuah naskhah yang cukup berat dan berbeza. Drama arahan Shahrulezad Mohameddin ini mengangkat kehidupan seorang individu interseks yang berdepan persoalan identiti, keluarga dan penerimaan masyarakat. Berada dalam naskhah dengan tema yang jarang dibawa ke kaca televisyen tempatan memberikan satu lagi warna dalam portfolio awal Zarif.

4. Seribu Tahun
Dalam Seribu Tahun, Zarif tampil sebagai Fakhrul dan berkongsi layar dengan nama seperti Azhan Rani, Noorkhiriah dan Emma Maembong. Drama ini membawa kisah rumah tangga Syukri dan Nor yang mula bergolak selepas kehadiran Imaan, seorang wanita yang pada awalnya dianggap seperti keluarga sendiri. Di sebalik konflik cinta dan pengkhianatan yang menjadi nadi cerita, kemunculan Zarif sebagai Fakhrul memberikan penonton peluang melihatnya dalam sebuah drama yang lebih sarat dengan emosi.

5. Antara Dua Syurga
Antara Dua Syurga pula menyaksikan Zarif membawa watak Naim, sahabat baik Firdaus lakonan Nabil Aqil. Persahabatan mereka mula menjadi rumit apabila kedua-duanya terikat dengan Jannah, lakonan Tracie Sinidol. Sebagai Naim, Zarif berada tepat di tengah-tengah konflik cinta dan persahabatan yang menjadi tunjang drama ini. Watak ini juga memberikan ruang lebih besar buat Zarif untuk menyerlah berbanding beberapa penampilan awalnya.

6. Hilang Dalam Rindu
Kalau pernah mengikuti Hilang Dalam Rindu, karakter Sarip tentunya tidak asing. Zarif membawakan watak sahabat lama Aira yang masih menyimpan perasaan terhadapnya, ketika Aira sendiri terjaga daripada koma tanpa mengingati 10 tahun terakhir kehidupannya. Sarip bukan sekadar watak yang hadir untuk melengkapkan cinta tiga segi, sebaliknya mempunyai perjalanan emosinya sendiri. Karakter itu kemudian kembali dalam Hilang Dalam Rindu 2 pada 2026, sekali lagi dengan Zarif sebagai Sarip.

7. Abang Imam, Minah Skuter
Sisi Zarif yang lebih ringan pula boleh dilihat menerusi Abang Imam, Minah Skuter. Kali ini dia tampil sebagai Zarul, seorang pemuda yang melarikan diri daripada rancangan perkahwinan keluarganya sebelum secara tidak sengaja menjadi imam sementara di sebuah kampung. Di situlah dia bertemu Mardiah, lakonan Bella Dowanna. Dengan elemen romantik dan komedi yang lebih santai, watak Zarul membolehkan Zarif bermain dengan sisi yang lebih bersahaja dan charming.

8. Berbahagi Suami
Zarif turut membawakan watak Haris dalam Berbahagi Suami, drama yang penuh dengan konflik rumah tangga dan rahsia masa lalu. Ceritanya berpusat pada Dhani, Bella dan Aishah selepas sebuah perkahwinan kedua mengubah kehidupan mereka. Dalam naskhah yang sarat dengan emosi dan hubungan kompleks ini, Zarif menjadi sebahagian daripada barisan karakter yang menggerakkan konflik sepanjang cerita.

9. Cela
Kalau mahu melihat sisi Zarif yang lebih matang, Cela antara yang patut masuk watchlist. Dalam siri Viu Original ini, dia tampil sebagai Luth dalam sebuah kisah gelap yang bermain dengan trauma, rahsia keluarga dan hubungan terlarang. Dibintangi bersama Hun Haqeem dan Nabila Huda, Cela memberikan Zarif ruang untuk berada dalam naskhah yang lebih intens dan psikologikal. Luth juga menjadi antara karakter yang menambahkan lagi lapisan konflik apabila satu demi satu rahsia mula terbongkar.

10. Kudrat 1968: High Council
Dan tentunya, ada Abbas. Menerusi Kudrat 1968: High Council, Zarif membawa karakter yang kini membuatkan semakin ramai mahu mengenalinya. Dengan penampilan yang lebih kasar dan emosi yang jauh lebih berat, Zarif benar-benar tenggelam dalam karakter Abbas. Malah, dia sanggup menurunkan berat badan daripada sekitar 90 kilogram kepada 69 kilogram sebagai sebahagian daripada persediaannya untuk watak tersebut. Tidak hairanlah jika Abbas akhirnya menjadi karakter yang membuatkan ramai penonton berkata, “Siapa Zarif Ghazzi ni?”

Artikel Berkaitan: Buat Peminat Jazmy Juma, Ini 5 Drama Lakonannya Yang Wajib Ditonton
