Datuk Sri Siti Nurhaliza memenangi trofi bagi kategori Vokal Wanita Terbaik di Anugerah Industri Muzik sebanyak 13 kali. Malah dia pernah memenanginya sebanyak lapan kali berturut-turut.
Anugerah Industri Muzik (AIM) bakal berlangsung pada 26 September ini. Di sebalik hilangnya konsistensi penganjuran beberapa tahun sebelum ini, AIM bagaikan bertemu jalan yang berjaya menghalakan mereka ke landasannya kembali.
Selain Album Terbaik, kataegori Vokal Wanita Terbaik juga yang sering menjadi perhatian. Tiap kali penganjuran, kategori ini sering saja dinanti-nanti, malah seringkali juga menerima reaksi yang berbeza-beza. Ya lah, lain orang lain pula penilaian telinganya. EH! senaraikan 11 penyanyi wanita yang pernah memenangi trofi berbentuk mikrofon vintaj ini.
ERA 90-AN
SHIMA
Mula dikenali dengan genre rock, Shima mencipta sejarah apabila menjadi pemenang kategori ini pada penganjuran pertama AIM. Dia memenangi trofi tersebut menerusi album ketiganya, Shima 3: Teringin.
DATUK AISHAH
Penyanyi yang mula dikenali menerusi hit awalnya, “janji Manismu’, Aishah meraih kemenangan menerusi album ‘Klasik’. Album ini merupakan sebuah album yang menyaksikan Aishah merakam semula lagu-lagu Melayu klasik seperti ‘Jauh DI Mata’, dan ‘Tari Tualang Tiga’.
DATUK ZIANA ZAIN
Kemenangan Ziana Zain di Voice of Asia dilihat salah satu faktor orang mula memberi perhatian kepada keupayaan vokalnya. Kepercayaan itu diteruskan dengan kejayaannya meraih trofi Vokal Wanita Terbaik di AIM 1996.
Kemenangan Ziana juga seakan kejutan pada waktu itu apabila dia menewaskan dua calon favourite ketika itu, iaitu Aishah (album Wajah) dan Datuk Shahrifah Aini (album live – Seraut Wajah Semerdu Suara).
Malah lebih menarik, Ziana mengulang pakai baju hijau di malam AIM ini di Konsert Unplugged ZIana Zain sebagai mengenang kemenangannya itu.
DATUK SRI SHEILA MAJID
Album ‘Ratu’ bukan sahaja menghadiahkan Sheila Majid trofi Album Pop Terbaik malah melayakkannya memenangi trofi Vokal Wanita Terbaik. Malah di malam yang sama, Sheila majid membawa satu lagi trofi untuk kategori vokal apabila dia dan Azlina Aziz dan Liza Aziz dinobatkan sebagai pemenang kategori Vokal Berkumpulan Terbaik menerusi lagu ‘Bersatu Hati’.
DATIN SERI CAMELIA
Camelia membuat kejutan di malam AIM tahun 1998. Sebagai pendatang baharu pada waktu itu, Camelia berjaya membawa pulang trofi kategori vokal terbaik. Antara yang tercalon di dalam ketegori yang sama ialah Ziana Zain, Ning Bazizura dan Siti Nurhaliza. Malah Camelia juga dinobatkan sebagai pemenang Artis Baru Wanita Terbaik.
DOMINASI SITI NURHALIZA
DATUK SRI SITI NURHALIZA
Siti Nurhaliza mula memenangi kategori Vokal Wanita Terbaik bermula pada tahun 1999 menerusi album ‘Adiwarna’. Sejak itu dia memenangi trofi tersebut selama lapan tahun berturut-turut- dari album Pancawarna sampailah ke album rakaman live ‘Siti Nurhaliza in Concert, Royal Albert Hall London’.
Jumlah kemenangan Siti Nurhaliza bagi kategori ini adalah sebanyak 13 kali setakat ini.
JACLYN VICTOR
Taruhan persembahan vokal Jac menerusi album ‘Inilah Jac’ ternyata berjaya memecah dominasi lapan tahun Siti Nurhaliza. Kemenangan Jac cukup mengejutkan namun tetap diraikan oleh peminat muzik.
Jac sekali lagi menggondol trofi kemenangan bagi kategori ini pada AIM 2011/2012 menerusi lagu ‘Counting Days’.
YUNA ZARAI
Walaupun pemenang kategori vokal sering saja didominasi penyanyi yang lebih terkenal dengan lagu berentak pop balada dengan lagu yang mencabar vokal, namun itu tidak bererti persembahan vokal penyanyi bergenre yang sedikit berbeza tidak mampu memikat hati juri.
Selain Datuk Sri Sheila Majid, Yuna Zarai juga berjaya mengenggam trofi ini. Kemenangan Yuna ini diperolehi menerusi lagu ‘Penakut’.
DAYANG NURFAIZAH
Rakaman persembahan ‘live’ ‘Seandainya Masih Ada Cinta’ di Konsert ‘Anuar and Dayang Live at Dewan Filharmonik Petronas’ menghadiahkan trofi kemenangan Dayang buat kategori ini.
Malah pada malam yang sama, Dayang turut diumumkan sebagai pemenang Vokal Duo/Berkumpulan Terbaik, gandingannya bersama Anuar Zain menerusi album yang sama, untuk lagu ‘Sedetik Lebih’.
GENERASI BAHARU
ERNIE ZAKRI
Lagu ‘Sinar Mata Hati’ ternyata membawa tuah buat Ernie apabila berjaya meletakkan namanya sebagai salah seorang pemenang kategori ini. Dan jika dilihat daripada barisan lima nama pencalonan ini dapat dilihat dimonopoli oleh ‘diva’ era baharu seperti Marsha Milan, Aina Abdul dan Ernie Zakri sendiri.
AINA ABDUL
Aina Abdul menjadi antara artis dengan pencalonan terbanyak di Anugerah Industri Muzik edisi ini menerusi album sulungnya ‘Imaji’. Aina berjaya mengenggam trofi impian ramai penyanyi ini menerusi lagu ‘Jangan Mati rasa Itu’. Lagu tersebut juga diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Lagu Pop Terbaik.
