Hollywood Walk of Fame, impian setiap pelakon.
Dalam landskap hiburan yang pernah didominasi nama-nama Barat, kehadiran selebriti Asia di Hollywood Walk of Fame menjadi bukti bahawa bakat dari Timur kini diiktiraf di pentas global.
Mereka bukan sahaja mencipta nama di negara asal, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa, memecah stereotaip dan membuka laluan kepada generasi baharu artis Asia untuk bersinar di Hollywood.
Figura selebriti ikonik yang bukan sahaja mengharumkan nama Asia, tetapi turut meninggalkan legasi di pentas Hollywood Walk of Fame.

1. Michelle Yeoh
Pelakon kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh, terus mengharumkan nama negara apabila namanya diabadikan di Hollywood Walk of Fame di Los Angeles.
Sebelum ini, anak kelahiran Ipoh itu turut mencipta sejarah apabila merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik di Academy Awards menerusi filem Everything Everywhere All at Once. Kemenangan tersebut menjadikannya wanita Asia pertama memenangi Oscar dalam kategori lakonan utama. Tidak terhenti di situ, Yeoh sekali lagi mencatat pencapaian gemilang apabila menerima Anugerah Honorary Golden Bear bagi pencapaian seumur hidup di Berlin International Film Festival.

2. Bruce Lee
Antara ikon budaya pop terbesar abad ke-20, Bruce Lee atau nama asalnya Lee Jun-fan, dilahirkan di San Francisco dan dibesarkan di Hong Kong. Beliau terkenal kerana memperkenalkan seni bela diri ke layar perak dengan gaya yang revolusioner, sekali gus melonjakkan namanya ke persada antarabangsa pada awal 1970-an.
Sebagai penghormatan terhadap pengaruh besarnya dalam industri hiburan, Lee dianugerahkan bintang di Hollywood Walk of Fame pada tahun 1993, yang terletak berhadapan TCL Chinese Theatre di Los Angeles.

3. Jackie Chan
Jackie Chan dikenali di seluruh dunia menerusi aksi akrobatik yang mendebarkan, elemen komedi yang bersahaja serta babak stunt inovatif yang sering dilakukan sendiri tanpa pelagak ngeri. Namanya bukan sahaja gah di Asia, malah menjadi antara pelakon Asia paling berjaya dan terkaya di peringkat antarabangsa.
Chan mula mencipta fenomena menerusi filem aksi komedi kultus Drunken Master (1978), yang melonjakkan namanya sebagai bintang seni bela diri generasi baharu. Antara filem paling popularnya termasuk francais Rush Hour, The Karate Kid (2010) dan The Foreigner (2017).

4. James Hong
Pelakon, penerbit dan pengarah kelahiran Amerika berketurunan Cina, James Hong, memiliki kerjaya yang cukup luar biasa dan dianggap perintis buat pelakon Asia di Hollywood. Dengan pengalaman lebih enam dekad dalam industri, beliau muncul dalam ratusan filem dan siri televisyen, membuktikan konsistensi serta dedikasi yang mengagumkan.
Hong kembali meraih perhatian generasi baharu menerusi wataknya sebagai Gong Gong dalam filem sci-fi drama yang memenangi Oscar, Everything Everywhere All at Once (2022). Lakonan cemerlangnya itu turut melayakkan beliau menerima anugerah Screen Actors Guild pada tahun 2023 bersama barisan pelakon lain.
Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya dalam kategori Motion Pictures, Hollywood Chamber of Commerce menganugerahkan Hong bintang ke-2,723 di Hollywood Walk of Fame. Menariknya, beliau merupakan penerima tertua yang pernah menerima penghormatan tersebut.

5. Ming-na Wen
Ming-Na Wen dikenali ramai menerusi suara ikoniknya dalam filem animasi Disney Mulan (1998). Watak tersebut bukan sahaja menjadi kegemaran ramai, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura penting dalam representasi Asia di arus perdana Hollywood.
Antara pencapaian pentingnya termasuk kemenangan Anugerah Saturn 2022 bagi Pelakon Wanita Terbaik dalam Siri Penstriman untuk The Book of Boba Fett, selain OFTA Film Award 1999 bagi Pelakon Keluarga Terbaik untuk Mulan.
