Panggilan tentera ibarat mimpi ngeri buat para peminat K-pop dan K-Drama, mana tidaknya ‘bias’ mereka lenyap dari radar hiburan buat jangka masa yang agak lama. Tetapi, tidak lah semua selebriti lelaki di Korea perlu menjalani khidmat tentera ada juga pengecualian dan biasanya diberikan atas bebetapa faktor dan walaupun tidak berkhidmat, mereka tetap menyumbang kepada negara menerusi bakat dan karya seni yang luar biasa.
Bila sebut sahaja tentang mandatory military service di Korea Selatan, ramai peminat K-Drama dan K-Pop dah sedia maklum bahawa lelaki warga Korea wajib menjalani latihan tentera sekitar umur 18 ke 28 tahun.
Namun, ada juga beberapa selebriti terkenal yang dikecualikan daripada tugasan ini atas sebab-sebab tertentu, sama ada faktor kesihatan ataupun latar belakang kewarganegaraan. Siapa mereka? Jom kita tengok senarai selebriti lelaki Korea yang tidak menjalani latihan ketenteraan dan kenapa mereka dikecualikan.
Tujuh Selebriti Korea Yang Dikecualikan Dalam Khidmat Tentera;
1. Kim Woo Bin
Pelakon kacak ini dikecualikan daripada latihan ketenteraan setelah disahkan menghidap kanser nasofarinks (hidung) pada tahun 2017. Ketika itu, Kim Woo Bin sedang berada di kemuncak populariti, namun dia memilih untuk berehat sepenuhnya bagi memberi tumpuan kepada rawatan. Atas faktor kesihatan serius ini, pihak tentera memutuskan bahawa Woo Bin tidak layak untuk menjalani perkhidmatan wajib negara.
2. Ahn Hyo Seop
Ramai tidak tahu pelakon drama popular Dr. Romantic dan Business Proposal ini sebenarnya berwarganegara Kanada. Lahir di Seoul tetapi dibesarkan di Toronto, Ahn Hyo Seop kembali ke Korea untuk mengejar impian sebagai idol. Oleh sebab dia bukan lagi warganegara Korea, maka dia secara automatik dikecualikan daripada khidmat tentera.
3. Park Hae Jin
Pelakon drama Cheese in the Trap ini tidak menyertai latihan tentera kerana mempunyai sejarah masalah kesihatan mental ketika zaman remajanya. Park Hae Jin telah disahkan mengalami depression dan social phobia yang serius dan menerima rawatan konsisten sejak usia muda lagi oleh sebab itulah, dia diberi pelepasan daripada khidmat wajib tentera.
4. Jo Jung Suk
Jo Jung Suk pernah menjadi perhatian ramai apabila didedahkan bahawa dia dikecualikan daripada khidmat tentera kerana tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Selepas bapanya meninggal dunia, dia menjadi satu-satunya pencari nafkah untuk ibu dan keluarganya. Atas dasar kemanusiaan, kerajaan Korea membenarkan pengecualian kepada individu dalam situasi seperti ini.
5. Seo In Guk
Pelakon dan penyanyi ini pada awalnya telah dipanggil untuk menyertai latihan asas tentera, namun dihantar pulang selepas beberapa hari selepas pemeriksaan perubatan menunjukkan dia menghidap necrosis tulang dan kondisi sakitnya adalah kronik yang boleh menjejaskan sendi dan tulang. Akhirnya, Seo In Guk dikecualikan daripada menyempurnakan latihan susulan dan dihantar pulang.
6. Lee Hee Joon
Popular dengan drama 1987: when the day comes, Lee Hee Joon turut menerima pengecualian tentera atas sebab masalah kesihatan, walaupun butiran spesifik tidak pernah diumumkan secara rasmi kepada umum. Namun, keputusan itu adalah hasil daripada penilaian perubatan oleh pihak tentera.
7. BamBam (GOT7)
Meskipun BamBam dikenali sebagai ahli kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, dia sebenarnya adalah warganegara Thailand. Di Thailand, perkhidmatan tentera juga diwajibkan kepada lelaki namun melalui sistem cabutan. BamBam pernah hadir ke sesi cabutan tersebut dan bernasib baik apabila tidak terpilih untuk menyertai tentera. Maka, dia bebas dari kewajiban tersebut.
Artikel Berkaitan: Pelakon Korea Dengan Bayaran Tertinggi Tahun 2024