Selepas Tujuh Tahun Penantian, pelakon jelita, Datin Nelydia Senrose, kini bergelar ibu selepas selamat melahirkan cahaya mata sulungnya, seorang bayi lelaki, pada 26 Julai 2026. Berita gembira itu dikongsikan oleh suaminya, Dato’ Mohd Hafez Halimi menerusi satu hantaran penuh emosi di Instagram yang mengundang ucapan tahniah daripada peminat dan rakan selebriti.

Meskipun memilih untuk tidak mendedahkan wajah serta nama bayi mereka buat masa ini, Datuk Hafez meluahkan rasa syukur dan penghargaan terhadap isterinya yang disifatkan sebagai wanita paling kuat pernah dikenalinya. Menurut Dato’ Hafez, menyaksikan sendiri perjuangan isterinya sepanjang proses melahirkan anak merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakannya sepanjang hayat.
“Melihat awak berjuang melalui setiap detik kesakitan dan setiap cabaran untuk membawa anak lelaki kita selamat ke dunia ini adalah sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hidup. Melihat awak menjadi seorang ibu adalah perkara paling indah yang pernah saya saksikan.”
Dalam perkongsian sama, beliau turut berterima kasih atas segala pengorbanan isterinya yang akhirnya menghadiahkan mereka anugerah paling bermakna dalam kehidupan.
Lebih menyentuh hati, Dato’ Hafez turut berkongsi bahawa kehadiran bayi lelaki mereka merupakan jawapan kepada doa yang dipanjatkan selama bertahun-tahun. Beliau melahirkan rasa syukur apabila Allah SWT bukan sahaja mengurniakan mereka seorang cahaya mata yang sihat, malah turut memelihara keselamatan isteri dan bayi sepanjang proses kelahiran.
“Dengan rahmat-Nya yang tidak terhingga, Allah telah memakbulkan setiap doa yang kita bisikkan selama bertahun-tahun. Allah mengurniakan kita seorang bayi lelaki yang sihat, dan yang paling penting, Dia memelihara keselamatan kamu berdua.”
Dato’ Hafez turut mengakui dirinya kini berasa begitu lengkap apabila impian mereka untuk membina sebuah keluarga akhirnya menjadi kenyataan. Menerusi hantaran yang sama, Dato’ Hafez turut berjanji akan sentiasa menyayangi serta melindungi isteri dan anak mereka dalam setiap fasa kehidupan.
Katanya, anak lelaki mereka sangat bertuah kerana memiliki Datin Nelydia sebagai ibu, manakala dirinya pula berasa lebih bertuah kerana dapat melalui perjalanan baharu sebagai seorang suami dan kini bergelar bapa.
Ucapan penuh kasih sayang itu nyata menyentuh hati ramai pengikut di media sosial yang membanjiri ruangan komen dengan doa agar keluarga kecil mereka sentiasa dikurniakan kebahagiaan serta dipermudahkan segala urusan.
Terdahulu, Datin Nelydia mengumumkan kehamilan pertamanya dan mendedahkan bakal menimang cahaya mata lelaki selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Datin Nelydia dan Dato’ Mohd Hafez Halimi sah bergelar suami isteri pada 6 April 2019, dan kelahiran bayi sulung ini menjadi detik paling bermakna dalam perjalanan hidup mereka sebagai pasangan.
Artikel Berkaitan: Kenali 7 Pasangan F1 Driver Yang Mencuri Perhatian Dunia



